Accessibility Tools

Skip to main content

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud


Nafkah asas kesejahteraan keluarga, pengabaiannya ancam masa depan ummah - MB Kelantan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 2 Julai — Tanggungjawab menunaikan nafkah merupakan asas pembinaan institusi keluarga yang sejahtera, manakala pengabaiannya menjejaskan kebajikan isteri dan anak-anak sekali gus mengancam kesejahteraan masyarakat serta masa depan ummah, kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata, nafkah bukan sekadar tuntutan moral, sebaliknya kewajipan yang ditetapkan syariat Islam dan wajib dipenuhi oleh setiap suami terhadap isteri serta anak-anak. Apabila hak tersebut dipelihara, keharmonian keluarga dapat diperkukuh sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan negeri.

“Program seperti ini amat penting untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai hak nafkah dan peruntukan undang-undang, di samping menyuburkan kesedaran bahawa setiap hak yang diperintahkan syariat ialah amanah yang wajib ditunaikan dengan penuh tanggungjawab kepada Allah SWT,” katanya ketika merasmikan Program Ops Nafkah: Waris Peduli, Keluarga Sejahtera 2026 di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.

Program anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan dengan kerjasama Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia serta beberapa agensi berkaitan itu menghimpunkan 300 peserta terdiri daripada imam mukim, penghulu, guru bimbingan dan kaunseling, kaunselor berdaftar, golongan armalah serta kakitangan agensi kerajaan.

Menurutnya, penyertaan pelbagai lapisan masyarakat membuktikan isu nafkah bukan lagi urusan peribadi antara suami dan isteri semata-mata, sebaliknya tanggungjawab bersama yang memerlukan sokongan masyarakat bagi memastikan hak wanita dan anak-anak terus terpelihara.

Beliau berkata, cabaran pengabaian nafkah masih berlaku khususnya selepas perceraian apabila terdapat bapa yang gagal melaksanakan perintah nafkah Mahkamah Syariah, sedangkan kewajipan tersebut turut meliputi anak-anak dan waris yang berhak menerimanya.

“Dalam banyak keadaan, kita melihat ibu tunggal atau armalah terpaksa membesarkan anak-anak bersendirian akibat kegagalan pihak bapa melaksanakan tanggungjawab nafkah. Keadaan ini memberi kesan besar terhadap pendidikan, kesihatan dan emosi anak-anak,” jelasnya.

Beliau memaklumkan sehingga Februari 2026, sebanyak 48,858 armalah telah berdaftar di Kelantan, sekali gus menggambarkan keperluan memperkukuh jaringan sokongan keluarga dan masyarakat. Menurutnya, Bahagian Sokongan Keluarga yang beroperasi di negeri ini sejak tahun 2009 memainkan peranan penting membantu golongan yang berdepan kesukaran mendapatkan nafkah seperti diperintahkan Mahkamah Syariah.

Katanya lagi, selain menyediakan khidmat nasihat, guaman percuma serta bantuan pendahuluan nafkah kepada pelanggan yang layak, kerajaan negeri turut memperkukuh aspek perundangan melalui Enakmen Keluarga Islam (Negeri Kelantan) 2025 yang memperincikan tanggungjawab individu yang wajib memberi nafkah mengikut hukum syarak.

Pada majlis sama, sebanyak 15 penerima menerima bantuan nafkah yang disalurkan melalui BSK. Menteri Besar turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta agensi berkaitan yang terus berganding bahu memperkukuh institusi kekeluargaan dan memelihara kebajikan masyarakat.

Pautan berjaya disalin!