Kedaulatan makanan penentu kelangsungan negara, pengkelasan masyarakat perlu dinilai semula
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 2 Julai – Kedaulatan makanan kini menjadi antara aspek paling penting dalam menjamin kelangsungan sesebuah negara, justeru usaha memperkukuh sekuriti bekalan makanan perlu diberi perhatian serius di samping menilai semula kaedah pengkelasan kluster masyarakat B40, M40 dan T20 agar lebih mencerminkan realiti ekonomi rakyat.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad berkata, dunia kini tidak lagi hanya membincangkan isu sekuriti makanan, sebaliknya telah beralih kepada konsep kedaulatan makanan yang mempunyai kaitan langsung dengan kestabilan sesebuah negara.
Menurutnya, kegagalan menjamin bekalan makanan boleh memberi kesan besar terhadap kedaulatan negara, sekali gus menuntut perhatian semua pihak dalam merangka dasar yang lebih mampan.
“Sekarang ini kita dah pergi sampai 'level food sovereignty', kedaulatan makanan. Maknanya kalau tak ada makanan, kedaulatan sebuah negara boleh terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengulas dalam program Sisi Pandang episod ke-41 bertajuk “Tekanan Kos Sara Hidup: B40 Mampu Bertahan?” yang disiarkan oleh Institut Pemikiran Tuan Guru Bentara Setia (IPTG), pada Rabu.
Mengulas lanjut, YB Kamaruzaman berkata, tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat merupakan realiti yang sedang dihadapi rakyat dan tidak boleh dipandang ringan atau disembunyikan.
Menurutnya, masyarakat sedang bertungkus-lumus meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, sekali gus memerlukan pendekatan yang lebih realistik dalam menangani isu tersebut.
“Rakyat sedang bertungkus-lumus untuk meneruskan hidup. Realitinya memang hari ini kita sedang berdepan dengan masalah ini dan kita tidak boleh 'swipe under the carpet', maknanya kita kena hadapi,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa sistem pengkelasan isi rumah kepada kumpulan B40, M40 dan T20 wajar dikaji semula kerana tidak lagi menggambarkan kedudukan ekonomi sebenar seseorang individu atau sesebuah keluarga.
Tambahnya lagi, penilaian berasaskan jumlah pendapatan semata-mata tidak mengambil kira tanggungan keluarga, kos kehidupan mengikut lokasi serta komitmen harian yang berbeza-beza.
Katanya, terdapat keluarga yang memperoleh pendapatan lebih tinggi, namun masih berdepan tekanan kewangan yang lebih besar berbanding isi rumah berpendapatan rendah kerana faktor kos sara hidup dan bilangan tanggungan.
“Mungkin yang berpendapatan RM13,000 dengan lima orang anak di Kuala Lumpur sebenarnya lebih miskin daripada B40 yang ada seorang anak,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pendekatan yang lebih menyeluruh perlu diterapkan dalam merangka dasar berkaitan kesejahteraan rakyat supaya bantuan dan intervensi kerajaan dapat disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Menurutnya, isu kos sara hidup tidak seharusnya dilihat hanya melalui angka pendapatan, sebaliknya perlu mengambil kira keseluruhan realiti kehidupan yang dihadapi rakyat pada masa ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa segala perancangan ekonomi dan pembangunan negara perlu berorientasikan kepentingan generasi akan datang agar mereka tidak dibebankan dengan pelbagai masalah yang diwarisi.
Gesanya, kerajaan dan semua pihak berkepentingan perlu memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara bertanggungjawab demi menjamin masa depan yang lebih sejahtera.
“Kita tidak mahu generasi akan datang mewarisi papa kedana, mewarisi masalah, atau mewarisi hutang negara yang begitu banyak,” tegasnya.








