Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah


Kesedaran rakyat Kelantan terhadap kesihatan mental semakin meningkat

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 2 Julai - Kesedaran rakyat Kelantan terhadap kepentingan menjaga kesihatan mental semakin meningkat, dibuktikan dengan pertambahan individu yang tampil mendapatkan khidmat kaunseling dan rawatan di fasiliti kesihatan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, peningkatan itu menunjukkan kempen kesedaran yang dilaksanakan kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

Katanya, kesihatan mental bukan lagi isu terpencil yang hanya melibatkan segelintir individu, sebaliknya menjadi cabaran kesihatan awam yang semakin mendapat perhatian di seluruh negara termasuk di Kelantan.

"Hasrat kita adalah untuk mengelakkan rakyat daripada mengalami penyakit mental. Sebab itu pelbagai program seperti kempen, ceramah dan promosi budaya hidup sihat dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

"Tiga faktor utama yang sering dikaitkan dengan penyakit mental ialah tekanan, kemurungan dan kebimbangan. Tekanan boleh dialami oleh semua golongan, manakala kemurungan menyebabkan seseorang cenderung menyendiri dan tidak mahu bergaul kerana berasa rendah diri akibat layanan masyarakat, ahli keluarga atau rakan sekerja."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jelajah Larian Obor Harapan Kesihatan Mental peringkat Negeri Kelantan, di perkarangan AEON Mall, di sini, hari ini.

Sebanyak 2000 peserta menyertai larian tersebut. Larian obor tersebut akan menjelajah ke seluruh daerah di Negeri Kelantan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kesihatan mental.

Kata YB Hilmi lagi, masyarakat perlu memainkan peranan dengan mendekati individu yang mengalami masalah kesihatan mental supaya mereka berasa disokong dan mempunyai ruang untuk meluahkan perasaan.

"Apabila mereka percaya kepada kita dan dapat berkongsi perasaan, tekanan yang dialami dapat dikurangkan. Itulah tujuan program seperti ini diadakan," katanya.

Mengulas statistik, beliau memaklumkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 menganggarkan sebanyak 1 juta rakyat Malaysia atau 4.6 peratus daripada penduduk berumur 15 tahun ke atas didiagnosis mengalami kemurungan.

Katanya, angka itu hampir dua kali ganda berbanding 2019 sekali gus menggambarkan cabaran kesihatan mental yang semakin membimbangkan.

Di Kelantan, katanya, bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan kesihatan mental di klinik kesihatan meningkat daripada 2,924 kes pada 2021 kepada 4,148 kes pada 2025.

"Hampir 70 peratus daripada kes itu membabitkan masalah kebimbangan dan kemurungan," jelasnya.

Tambahnya, analisis saringan kesihatan mental di Kelantan mendapati 29.5 peratus individu yang dikesan mengalami gejala kemurungan terdiri daripada remaja berusia 13 hingga 19 tahun, manakala 37.2 peratus membabitkan warga emas.

Bagi gejala kebimbangan pula, golongan dewasa awal berusia 20 hingga 39 tahun merupakan kumpulan paling ramai dikesan mengalami masalah itu iaitu 47 peratus daripada keseluruhan kes.

Katanya, dapatan itu menunjukkan kesihatan mental bukan lagi isu yang tertumpu kepada satu kumpulan umur, sebaliknya melibatkan remaja, golongan dewasa dan warga emas yang masing-masing berdepan cabaran kehidupan berbeza.

"Di sebalik setiap statistik, ada insan yang sedang berjuang dalam diam. Ada anak muda yang menyembunyikan tekanan kerana takut dipandang lemah, ibu bapa yang memendam keresahan demi keluarga dan warga emas yang bergelut dengan kesunyian tanpa tempat untuk meluahkan perasaan.

"Luka pada fizikal mudah dilihat, namun luka pada jiwa sering tersembunyi. Menjadi tanggungjawab kita untuk mewujudkan masyarakat yang lebih memahami, prihatin dan berani menghulurkan bantuan," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri komited memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan mental melalui kerjasama dengan JKNK dan pelbagai agensi.

Antara inisiatif dilaksanakan termasuk program Komuniti Minda Sihat, memperkasakan komuniti penghantar makanan sebagai duta dan simbol keteguhan kesihatan mental, selain menyediakan platform saringan Minda Sihat secara dalam talian.

Katanya, orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan melalui Talian Heal 15555, klinik kesihatan berhampiran serta 15 talian psikososial khas yang diwujudkan di Kelantan bagi menyediakan sokongan psikologi, nasihat dan bantuan awal.

Selain itu, usaha advokasi diperkasakan menerusi kempen "Hentikan Stigma, Kesihatan Mental Milik Semua" melalui pelbagai hebahan dan pendidikan kesihatan di media sosial rasmi JKNK termasuk Facebook dan TikTok.

Jelasnya lagi, kerjasama turut diperluaskan dengan pelbagai agensi termasuk Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KEKWA) yang melaksanakan inisiatif sokongan kesejahteraan emosi dan program kaunseling khusus untuk wanita.

YB Hilmi turut menyeru semua agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi pengajian tinggi, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media dan seluruh rakyat Kelantan agar terus berganding bahu memperkukuhkan usaha promosi, pencegahan, pengesanan awal, intervensi dan rehabilitasi kesihatan mental.

"Perjuangan ini bukan milik Jabatan Kesihatan semata-mata, sebaliknya tanggungjawab kita bersama untuk membina sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan fizikal, malah kaya dengan nilai kasih sayang, empati dan kesejahteraan mental," katanya.

Pautan berjaya disalin!