Pendidikan berteraskan al-Quran lahirkan generasi cemerlang – Exco Pendidikan
Oleh: Asyura Muhamad
Kredit foto: Media YB Exco Pendidikan
KOTA BHARU, 2 Julai – Pendidikan yang berteraskan al-Quran, sunnah dan nilai ketuhanan menjadi asas penting dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak serta mampu menyumbang kepada pembangunan ummah dan negeri.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah Iqra' yang membawa maksud membaca, sekali gus menunjukkan kepentingan menuntut ilmu dalam Islam.
Beliau berkata, ibu bapa memikul amanah besar untuk mencorakkan kehidupan anak-anak kerana setiap insan dilahirkan dalam keadaan suci.
"Nabi Muhammad SAW bersabda agar anak-anak dididik dengan tiga perkara, iaitu mencintai Nabi, mencintai ahli keluarga serta para sahabat Baginda dan membaca al-Quran.
"Sekiranya ibu bapa tidak berkesempatan mendidik sendiri anak-anak dalam perkara tersebut, mereka hendaklah memilih institusi pendidikan yang mampu melaksanakannya."
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-7 (MSTG) di Dewan Tok Guru MSTG, hari ini.
Menurut beliau, komitmen Kerajaan Negeri dalam membangunkan (YIK) adalah bagi memastikan pelajar menguasai ketiga-tiga tuntutan sebagaimana yang digariskan oleh Rasulullah SAW.
Katanya, usaha itu diterjemahkan melalui penubuhan Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan pada tahun 1993 sebagai antara institusi yang memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah dan kecemerlangan akademik.
Dalam pada itu, YB Wan Roslan turut mengingatkan pelajar supaya menjaga hubungan dengan Allah SWT bagi memperoleh keberkatan dalam menuntut ilmu.
Yang Dipertua PIBG, YB Dato' Dr Izani Husin
Sementara itu, Yang Dipertua PIBG, YB Dato' Dr Izani Husin berkata, setiap individu mempunyai potensi akal yang sama, namun kejayaan bergantung kepada kesungguhan, disiplin dan usaha yang berterusan.
Beliau berkata, proses pembelajaran yang berkesan memerlukan pengulangan, budaya bertanya kepada guru serta berkongsi ilmu dengan orang lain.
"Apa yang paling penting ialah ibu bapa perlu meyakinkan anak-anak bahawa mereka mampu berjaya, dengan kerjasama erat antara guru dan ibu bapa, MSTG berpotensi muncul sebagai antara sekolah cemerlang di Kelantan," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Akademik , Sukeri Hussin yang mewakili Pengarah YIK berkata, YIK akan terus memperkukuh usaha melahirkan generasi yang memiliki kekuatan ilmu dan agama, selain mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, YIK turut mempergiat latihan kepada guru dan pelajar bagi meningkatkan kecemerlangan akademik, termasuk menetapkan sasaran Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi setiap subjek serta Gred Purata Sekolah (GPS) di setiap sekolah YIK bagi meningkatkan prestasi pelajar, guru dan sekolah secara menyeluruh.
Pada majlis sama, turut berlangsung ialah gimik penyerahan kunci kereta oleh wakil Bank Muamalat dan gimik penyerahan TV Smart Board oleh Yayasan Taqwa bagi kegunaan pentadbir, guru-guru dan pelajar MSTG.














