Accessibility Tools

Skip to main content

YB Zakhran bantu Suhaizam berniaga air balang

Oleh: Irham Hilmi Hashim

MACHANG, 2 Julai — Hasrat seorang orang kurang upaya (OKU) untuk berdikari melalui perniagaan air balang mendapat suntikan semangat apabila Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning, YB Ahmad Zakhran Mat Noor menghulurkan bantuan peralatan perniagaan bagi membolehkan usaha itu direalisasikan.

Sumbangan berupa khemah, meja lipat dan bekas balang air disampaikan melalui Pusat Khidmat DUN (PKD) Kemuning kepada Suhaizam Ibrahim, 30, atau lebih dikenali sebagai Abe Ijam di Kampung Sungai Hala,  di sini, pada 30 Jun.

YB Ahmad Zakhran berkata, bantuan itu bertujuan membantu Suhaizam menjana pendapatan sendiri sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kebajikan.

“Baru-baru ini, Abe Ijam menyatakan hasratnya kepada pihak kami untuk mencari rezeki dengan usaha sendiri, sekurang-kurangnya tidaklah bergantung semata-mata atas pemberian orang lain melalui perniagaan air balang.

“Insya Allah beliau akan dibantu oleh anak-anaknya dan lokasi perniagaan hanya boleh dibuat di hadapan rumahnya kerana kekangan keupayaan akibat matanya yang buta,” katanya menerusi media sosial pada Khamis.

Beliau berkata, usaha memperkasa golongan memerlukan tidak seharusnya tertumpu kepada pemberian bantuan sekali sahaja, sebaliknya perlu disokong dengan inisiatif yang mampu meningkatkan keupayaan mereka untuk berdikari.

Menurutnya, pendekatan sedemikian memberi impak jangka panjang kerana penerima bantuan berpeluang membina kehidupan yang lebih baik melalui sumber pendapatan sendiri.

Beliau turut mendoakan agar perniagaan yang bakal diusahakan Suhaizam dipermudahkan dan menjadi sumber rezeki yang berkat buat beliau serta keluarganya.

“Semoga perniagaan ini dipermudahkan dan menjadi sumber rezeki yang baik buat beliau serta keluarga,” katanya.

Pautan berjaya disalin!