Accessibility Tools

Skip to main content

Reban baharu tingkat bekalan 20,000 ekor ayam bagi setiap pusingan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

PASIR MAS, 2 Julai — Pembangunan reban ayam pedaging sistem tertutup kedua di Rong Chenok Agro Valley dijangka meningkatkan bekalan ayam tempatan sebanyak 20,000 ekor bagi setiap pusingan ternakan sekali gus memenuhi permintaan pasaran di Kelantan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek yang dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) menerusi Projek Pembangunan Agromakanan Negara itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan Kerajaan Negeri Kelantan.

“Reban ini mampu menampung sehingga 20,000 ekor ayam pedaging bagi setiap pusingan ternakan sekali gus membantu meningkatkan bekalan ayam untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan di Kelantan.

“Semoga projek ini dapat memperkukuh industri penternakan serta agenda keterjaminan makanan di negeri Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelepasan Anak Ayam sempena pembangunan reban ayam pedaging sistem tertutup kedua di Rong Chenok Agro Valley, semalam.

Majlis tersebut disempurnakan dengan gimik pelepasan anak ayam sebagai simbol permulaan operasi reban baharu berkenaan.

Menurutnya, pembangunan reban sistem tertutup itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan sektor agromakanan menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi yang mampu meningkatkan pengeluaran makanan negara.

"Projek ini turut menyokong usaha meningkatkan tahap sara diri bekalan makanan serta menjamin bekalan sumber protein yang mencukupi kepada rakyat," jelasnya sebagaimana dikongsikan menerusi media sosial pada Rabu.

Beliau berharap kerjasama strategik antara KPKM, Kerajaan Negeri dan PKPNK akan terus diperkasakan bagi memperluas pelaksanaan projek pembangunan agromakanan yang mampu meningkatkan produktiviti sektor pertanian serta memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat Kelantan.

Pautan berjaya disalin!