Kebajikan, kesejahteraan rakyat kekal keutamaan kerajaan Kelantan - MB Kelantan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 1 Julai - Kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan serta keputusan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud.
Katanya, setiap dasar dan tindakan yang diambil perlu memberi manfaat yang nyata kepada rakyat di samping menyumbang kepada kemajuan negeri secara menyeluruh.
"Insya Allah, kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan setiap perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat Kelantan.
"Semoga segala usaha yang digerakkan dipermudahkan serta mendapat keberkatan daripada Allah SWT," katanya dalam media sosial, hari ini.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menurutnya, persidangan itu meneliti pelbagai agenda pembangunan, memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta membincangkan perkara yang berkait rapat dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.












