Accessibility Tools

Skip to main content

Ahli Parlimen perlu rujuk data rasmi sebelum buat dakwaan – TMB Kelantan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 1 Julai – Ahli Parlimen diingatkan supaya merujuk data rasmi yang sahih sebelum mengemukakan sebarang dakwaan di Dewan Rakyat bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan setiap kenyataan dibuat berasaskan fakta.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan menggesa setiap wakil rakyat perlu bertanggungjawab ketika membahaskan sesuatu isu, khususnya yang melibatkan sesebuah negeri dalam Persekutuan.

Menurutnya, sebarang dakwaan tidak seharusnya dibuat secara sewenang-wenangnya kerana tindakan itu boleh mencemarkan imej negeri dan mengelirukan masyarakat.

“Dewan Yang Mulia sepatutnya diisi oleh Ahli Parlimen yang menghormati fakta dan tidak membuat tuduhan sembarangan. Jika sesuatu perkara menyentuh sesebuah negeri seperti Kelantan, hormatilah negeri dan rakyatnya dengan merujuk data yang tepat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Mabna, hari ini.

Beliau juga menegaskan, data rasmi yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) perlu dijadikan rujukan utama kerana dokumen itu merupakan statistik rasmi negara bukan semata-mata data yang dikemukakan oleh Kerajaan negeri.

“Data yang tepat bukan datang daripada Kerajaan Negeri Kelantan sahaja, tetapi juga daripada statistik yang dikeluarkan oleh Department of Statistics Malaysia. Sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan sesuatu data, rujuklah terlebih dahulu kepada sumber rasmi. Barulah ia mencerminkan tanggungjawab seorang wakil rakyat,” tegasnya.

Dato Dr. Mohamed Fadzli berkata, setiap ucapan yang disampaikan di Dewan Rakyat tertakluk kepada peraturan dan tidak boleh mengandungi kenyataan yang boleh mengelirukan Ahli Parlimen lain mahupun rakyat.

“Apabila bercakap dalam Parlimen, ada peraturannya. Kita tidak boleh mengelirukan ahli-ahli Dewan, malah rakyat umum yang mengikuti perbahasan tersebut. Sebagai wakil rakyat, kita perlu menjaga maruah institusi Parlimen dengan memastikan setiap kenyataan berasaskan fakta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jelutong YB Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajali (RSN Rayer) serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Nga Kor Ming berhubung isu sosial di Kelantan yang menurutnya tidak mengambil kira keseluruhan data rasmi yang diterbitkan oleh agensi kerajaan.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menegaskan dakwaan yang menggambarkan Kelantan sebagai negeri tertinggi bagi pelbagai kategori jenayah dan gejala sosial adalah tidak tepat, tidak lengkap serta mengelirukan kerana tidak disandarkan kepada statistik rasmi yang menyeluruh.

Pautan berjaya disalin!