Mufti seluruh negara bersidang di Kelantan, muktamadkan hukum isu semasa umat
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 1 Julai – Mufti-mufti seluruh negara bersidang di Kelantan selama tiga hari bagi membincangkan serta memuktamadkan pandangan hukum terhadap pelbagai isu semasa yang dihadapi umat Islam menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-130.
Mesyuarat yang berlangsung bermula 29 Jun hingga hari ini di Hotel Perdana, Kota Bharu menghimpunkan Ahli Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk meneliti isu berkaitan akidah, syariah dan akhlak (tasawuf), selain menghasilkan pandangan hukum, kertas makluman dan garis panduan sebagai rujukan kerajaan, sektor swasta serta masyarakat Islam di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Dato' Paduka (Dr.) Nooh Gadot berkata, jawatankuasa itu yang ditubuhkan sejak tahun 1970 telah melaksanakan 130 kali mesyuarat dan menghasilkan lebih 400 pandangan hukum serta garis panduan yang menjadi rujukan pelbagai pihak.
"Pandangan hukum yang diputuskan akan dimaklumkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja bagi mendapat perkenan dan seterusnya dikemukakan kepada pihak berkuasa fatwa negeri untuk tindakan selanjutnya.
"Keputusan yang dihasilkan melalui proses kajian dan penyelidikan yang teliti serta diputuskan menerusi semangat ijtihad jama'ie yang menggabungkan kepakaran dalam bidang akidah, syariah, tasawuf, sains, teknologi, sosial, budaya dan ekonomi demi memelihara maqasid syariah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Tautan Ulama' dan Umara' sempena Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-130 di Hotel Perdana, di sini, semalam.
Menurutnya, mekanisme yang diamalkan Jawatankuasa Muzakarah MKI membantu melahirkan fatwa dan pandangan hukum yang berwibawa serta mempunyai kredibiliti tinggi untuk dijadikan sandaran oleh kerajaan, swasta dan masyarakat.
Tambahnya, usaha memperluaskan kefahaman masyarakat terhadap pandangan hukum dan fatwa turut diperkasakan melalui pelbagai medium termasuk media baharu dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) supaya maklumat dapat diakses serta difahami dengan lebih meluas.
"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, saya juga akan mengeluarkan kenyataan media sebagai penjelasan dan pemakluman rasmi kepada agensi kerajaan, swasta serta masyarakat awam berkaitan pandangan hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan, Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta semua agensi yang terlibat dalam menjayakan penganjuran mesyuarat berkenaan.
Beliau turut berharap sokongan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri terhadap institusi ulama akan terus diperkukuh sebagai manifestasi hubungan erat antara ulama dan umara' dalam memastikan syiar Islam terus dimartabatkan di negara ini.










