Accessibility Tools

Skip to main content

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Dato' Mohd Nassuruddin Daud


MKI: Ulama pandu masyarakat ikut wahyu, umara jaga maslahah ummah -MB Kelantan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 1 Julai — Majlis Tautan Ulama' dan Umara' menjadi simbol kesatuan antara dua institusi yang menjadi tonggak kekuatan umat Islam, apabila ulama berperanan memandu masyarakat berasaskan petunjuk wahyu manakala umara melaksanakan amanah pemerintahan demi menegakkan keadilan dan menjaga maslahah rakyat.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, sinergi antara ulama dan umara amat penting dalam mendepani pelbagai cabaran semasa agar setiap dasar dan keputusan yang dibuat sentiasa berpaksikan syariat Islam serta memenuhi kepentingan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tautan Ulama' dan Umara sempena Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-130 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI terus memainkan peranan penting sebagai platform menyatukan ijtihad dan pandangan ulama dari seluruh negara dalam menangani pelbagai isu semasa yang dihadapi umat Islam.

“MKI telah memainkan peranan yang sangat besar dalam menyatukan pandangan dan ijtihad para ulama di negara ini. Walaupun Malaysia mempunyai latar belakang masyarakat dan pentadbiran agama yang pelbagai, melalui platform muzakarah inilah lahir pelbagai keputusan penting yang menjadi rujukan kepada umat Islam,” katanya.

Mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 Jun hingga 1 Julai itu menghimpunkan para mufti serta Ahli Jawatankuasa Muzakarah MKI dari seluruh negara bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan hal ehwal agama Islam.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, perkembangan pesat teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, aset digital, mata wang kripto serta pelbagai isu kontemporari menuntut panduan syariah yang tepat, berwibawa dan selari dengan realiti semasa.

“Setiap isu baharu tidak boleh dinilai secara terpisah daripada realiti semasa. Ia menuntut penelitian yang mengaitkan maqasid syariah, perkembangan sains, kemajuan teknologi serta implikasinya kepada kehidupan umat Islam,” ujarnya.

Beliau berkata, Kelantan akan terus mempertahankan dasar Membangun Bersama Islam dengan memastikan pembangunan insan bergerak seiring pembangunan fizikal, di samping memelihara tradisi keilmuan yang menjadikan negeri itu dikenali sebagai Serambi Mekah.

Katanya, kerajaan negeri juga komited memperkukuh institusi fatwa, pendidikan Islam, pengajian qada' serta pelbagai program pembangunan insan bagi melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab.

“Tanggungjawab membina masa depan ummah bukanlah tugas ulama sahaja dan bukan juga tugas pemerintah semata-mata. Ia merupakan amanah bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak untuk melahirkan generasi yang cemerlang dalam bidang profesional dan teknologi tanpa kehilangan iman, akhlak serta identiti Islam,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana memilih Kelantan sebagai tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-130.

Harapannya, pertemuan tersebut terus memperkukuh ukhuwah, mempererat hubungan antara ulama dan umara serta menghasilkan keputusan yang menjadi panduan kepada umat Islam, sekali gus membawa manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Pautan berjaya disalin!