Accessibility Tools

Skip to main content

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan


Dakwaan Kelantan negeri tertinggi kes jenayah tidak tepat, tidak lengkap dan mengelirukan – TMB Kelantan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 1 Julai – Dakwaan bahawa Kelantan merupakan negeri tertinggi dalam kadar kes jenayah disifatkan sebagai tidak tepat, tidak lengkap dan mengelirukan kerana tidak berasaskan kepada keseluruhan data rasmi yang diterbitkan agensi kerajaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, dakwaan tersebut yang tular di media sosial serta dibangkitkan dalam wacana politik telah dipetik secara terpilih sehingga membentuk persepsi negatif terhadap negeri ini.

Menurutnya, antara dakwaan yang dirujuk termasuk video ceramah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Nga Kor Ming yang didakwa menggambarkan Kelantan berdepan masalah sosial serius melibatkan HIV/AIDS, kes rogol, jenayah seksual kanak-kanak dan penyalahgunaan dadah.

Selain itu, beliau berkata dakwaan turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jelutong YB Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji (RSN Rayer) ketika perbahasan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, yang didakwa memetik sumber portal berita tanpa merujuk kepada data rasmi negara sehingga menggambarkan situasi tidak tepat.

“Dakwaan bahawa Kelantan berada pada kedudukan tertinggi jenayah adalah tidak tepat, tidak lengkap dan mengelirukan kerana ia tidak disandarkan kepada keseluruhan data rasmi yang sahih,” katanya dalam sidang media, selepas Mesyuarat Exco di Mabna, hari ini.

Beliau menjelaskan, berdasarkan Statistik Jenayah Malaysia 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kelantan merekodkan 2,296 kes jenayah indeks pada tahun 2024 dengan nisbah 109, jauh lebih rendah berbanding Selangor yang mencatatkan 11,910 kes.

Tambahnya, bagi kategori keganasan seksual, Kelantan merekodkan 330 kes pada tahun 2024, manakala kes rogol mencatatkan 147 kes, iaitu lebih rendah berbanding beberapa negeri lain seperti Selangor, Sabah dan Johor.

“Data rasmi menunjukkan Kelantan bukan negeri tertinggi dalam kategori jenayah indeks mahupun jenayah seksual seperti yang sering digambarkan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa bagi kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, Kelantan merekodkan 128 kes rogol bawah umur pada tahun 2024, namun tidak mencatatkan sebarang kes bagi kategori eksploitasi seksual kanak-kanak.

“Ini membuktikan bahawa dakwaan yang menyapu rata semua kategori sehingga meletakkan Kelantan sebagai negeri tertinggi adalah tidak tepat dan tidak berasaskan analisis menyeluruh,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata isu HIV/AIDS juga sering digunakan secara tidak tepat dalam perbahasan awam, sedangkan data KKM menunjukkan negeri lain mencatatkan jumlah kes lebih tinggi berbanding Kelantan.

Menurutnya, Selangor mencatatkan jumlah kes baharu HIV tertinggi pada tahun 2023 dan 2025, diikuti beberapa negeri lain termasuk Kuala Lumpur dan Sabah, manakala Kelantan merekodkan angka yang jauh lebih rendah.

“Isu kesihatan awam tidak wajar dipolitikkan dengan memetik data secara terpilih. Ia memerlukan kefahaman menyeluruh berdasarkan statistik rasmi,” ujarnya.

Sementara itu, Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan menegaskan Kerajaan Negeri tidak menafikan kewujudan cabaran sosial termasuk isu dadah, namun pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan secara berterusan.

“Kerajaan Negeri mengambil pendekatan menyeluruh melalui pencegahan, pendidikan, penguatkuasaan dan pemulihan. Ini adalah tanggungjawab bersama semua pihak,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial dan Maksiat telah ditubuhkan bagi menyelaras tindakan antara agensi negeri dan persekutuan dalam menangani isu sosial secara lebih berkesan.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan isu jenayah dan sosial tidak wajar dijadikan modal politik kerana ia melibatkan keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

“Isu ini perlu ditangani secara berfakta, bukan berdasarkan persepsi atau naratif politik yang dipilih-pilih,” katanya.

Pautan berjaya disalin!