20 pasangan di DUN Tawang terima Skim Gerbang Az-Ziwaaj
Oleh: Irham Hilmi Hashim
BACHOK, 1 Julai – Sejumlah 20 pasangan di DUN Tawang menerima cek Skim Gerbang Az-Ziwaaj daripada Kerajaan Negeri Kelantan dalam satu majlis yang diadakan sempena Usrah Mingguan DUN Tawang di Pusat Khidmat DUN (PKD)Tawang.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang YB Harun Ismail berkata, skim tersebut merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, sekali gus memperkukuh institusi kekeluargaan di negeri ini.
Katanya, sumbangan yang diberikan diharap dapat membantu para penerima membuat persiapan dan menampung keperluan awal dalam melayari alam perkahwinan.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cek Skim Gerbang Az-Ziwaaj kepada para penerima di Pusat Khidmat DUN Tawang sebagaimana catatan menerusi media sosial, semalam.
Dalam pada itu, YB Harun turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pasangan yang menerima sumbangan tersebut serta mendoakan agar mereka dikurniakan kehidupan berkeluarga yang diberkati.
"Pembinaan sebuah keluarga yang bahagia perlu berasaskan pegangan agama, kasih sayang, sikap saling memahami serta tanggungjawab antara suami dan isteri," katanya.
Tambahnya, bantuan yang disalurkan bukan sekadar meringankan beban kewangan pasangan yang baru berkahwin, malah mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap para penerima dapat memanfaatkan sumbangan yang diberikan dengan sebaik-baiknya bagi memulakan kehidupan berumah tangga.
Beliau turut mendoakan agar semua pasangan yang menerima Skim Gerbang Az-Ziwaaj dikurniakan keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah serta sentiasa berada dalam lindungan dan keberkatan Allah SWT.









