Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan tuan rumah MALDEX 2026, bukti mampu anjur persidangan berprestij

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 1 Julai — Pemilihan Kelantan sebagai tuan rumah Malaysia Dental Conference & Exhibition (MALDEX) 2026 mencerminkan keyakinan pelbagai pihak terhadap keupayaan negeri ini menganjurkan program ilmiah, profesional bertaraf kebangsaan yang berprestij sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi persidangan berimpak tinggi.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, persidangan yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 Julai di Renai Hotel, Kota Bharu itu bakal menghimpunkan pakar pergigian, ahli akademik, pengamal industri serta pemain sektor kesihatan dari seluruh negara.

Menurutnya, penganjuran MALDEX 2026 bukan sahaja memperkukuh jaringan profesional, malah menjadi platform strategik untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pergigian melalui perkongsian ilmu, inovasi dan amalan terbaik.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Dental PAPISMA (Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia) di pejabatnya di Kota Darulnaim, semalam.

Katanya, kunjungan tersebut bertujuan memberi taklimat mengenai persiapan akhir penganjuran MALDEX 2026 serta menyelaras pelaksanaan persidangan yang dijadual berlangsung minggu hadapan.

“MALDEX 2026 akan menjadi medan penting bagi menghimpunkan kepakaran dalam bidang pergigian serta memperkukuh kerjasama profesional ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan pergigian negara,” katanya.

Beliau memaklumkan, persidangan yang bertema “Beyond Digital: Elevating Patient Experience and Clinical Excellence” itu akan memberi penekanan kepada usaha mempertingkat pengalaman pesakit serta kecemerlangan amalan klinikal seiring perkembangan teknologi dalam bidang pergigian.

Selain sesi ilmiah, MALDEX 2026 turut menampilkan pameran teknologi pergigian terkini yang dijangka menjadi platform terbaik untuk perkongsian penyelidikan, inovasi serta pembangunan profesional.

Menurutnya, penganjuran persidangan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti pergigian, malah berpotensi merancakkan sektor pelancongan perniagaan dan ekonomi setempat melalui kehadiran peserta dari seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kehadiran semua peserta dan delegasi ke Kelantan serta berharap MALDEX 2026 dapat berlangsung dengan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.

YB Hilmi turut berharap persidangan berprestij itu menjadi pemangkin kepada kecemerlangan perkhidmatan kesihatan pergigian negara melalui pemerkasaan kepakaran, inovasi dan jaringan profesional yang memberi manfaat kepada rakyat.

Pautan berjaya disalin!