Golongan OKU perlu terus diberi ruang kembang potensi - YB Zubir
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA KRAI, 2 Julai — Golongan orang kurang upaya (OKU) perlu terus diberikan ruang dan peluang untuk mengembangkan potensi serta menyumbang kepada pembangunan negeri melalui penyediaan akses yang lebih inklusif dalam pendidikan, pekerjaan dan pembangunan diri.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar berkata, Kerajaan Negeri Kelantan komited memperkasa kebajikan dan pembangunan golongan OKU dengan meningkatkan peruntukan bantuan kepada RM600,000 tahun ini berbanding RM500,000 pada tahun lepas.
Menurutnya, peningkatan sebanyak RM100,000 itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan serta pembangunan komuniti OKU terus menjadi agenda utama.
“Golongan OKU bukanlah kelompok yang wajar dipinggirkan. Mereka memiliki bakat, potensi dan keupayaan yang perlu diberi ruang untuk terus berkembang.
“Kita bertanggungjawab memastikan golongan OKU menikmati hak yang sama dalam pendidikan, pekerjaan, pembangunan diri dan kehidupan bermasyarakat agar mereka dapat menyumbang kepada pembangunan negeri mengikut kemampuan masing-masing,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan OKU DUN Mengkebang 2026 di Dewan Tok Guru Abdul Rahman, Sungai Durian, di sini, pada 30 Jun.
Pada majlis tersebut, sebanyak 45 OKU dari DUN Mengkebang menerima sumbangan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan mereka.
Menurut YB Zubir, program seumpama itu menjadi platform memperkukuh ukhuwah, meningkatkan keyakinan diri, mengasah bakat serta menyemai kesedaran bahawa setiap individu mempunyai peranan penting dalam masyarakat.
“Kelantan berbangga kerana berjaya melahirkan ramai individu luar biasa dalam kalangan OKU yang membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan.
“Sebagai contoh, kejayaan Muhammad Qayyim Nizar Sarimi muncul sebagai Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023 membuktikan golongan OKU mampu mengharumkan nama negeri apabila diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, kejayaan tersebut wajar dijadikan inspirasi kepada masyarakat untuk terus menghargai keupayaan golongan OKU serta bersama-sama mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif demi kesejahteraan semua.










