Accessibility Tools

Skip to main content

Kebun markisa di Guchil bukti tanah terbiar mampu jana pendapatan

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB YB Dato' Tuan Saripudin

KOTA DARULNAIM, 30 Jun - Kejayaan kebun markisa seluas satu ekar di Guchil, Kuala Krai yang mampu menghasilkan antara empat hingga lima tan buah menjadi bukti tanah terbiar boleh dibangunkan sebagai kawasan pertanian produktif.

Demikian kenyataan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail menerusi media sosial, pada Isnin.

Katanya, kebun berkenaan turut berjaya menembusi pasaran luar negeri, sekali gus membuktikan permintaan terhadap markisa berkualiti terus meningkat.

"Ini membuktikan permintaan terhadap markisa berkualiti sangat tinggi dan membuka peluang ekonomi yang besar kepada para pengusaha. Saya berharap lebih banyak tanah terbiar dapat dibangunkan dengan tanaman bernilai tinggi seperti markisa demi meningkatkan pendapatan petani, memperkukuh sekuriti makanan dan terus memacu pembangunan sektor pertanian Negeri Kelantan," ujarnya.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke kebun markisa seluas satu ekar yang diusahakan Kanda Fadhil dan Along di Taman Orkid, Kampung Gatal, Guchil bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil YB Hilmi Abdullah.

Sementara itu, YB Hilmi yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, pokok markisa mudah ditanam dan dijaga serta mula mengeluarkan hasil dalam tempoh enam hingga lapan bulan selepas ditanam.

Jelasnya, tanaman itu mampu berbuah secara produktif selama kira-kira dua tahun, sekali gus menjadikannya tanaman kontan yang memberi pulangan lebih cepat berbanding kebanyakan tanaman buah lain.

"Markisa yang masak boleh dimakan segar, dijadikan jus, smoothie dan kordial. Buah ini juga digunakan dalam penghasilan aiskrim, yogurt, kek dan pencuci mulut, selain diproses menjadi jem dan puri serta digunakan dalam industri makanan kesihatan dan kosmetik," katanya dalam media sosial, pada Isnin.

Pautan berjaya disalin!