20 pelajar cemerlang SPM, 18 keluarga Tionghua berpendapatan rendah terima sumbangan kerajaan negeri
Oleh: Irham Hilmi Hashim
MACHANG, 30 Jun — Sebanyak 20 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan 18 keluarga daripada masyarakat Tionghua berpendapatan rendah menerima sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan dalam satu majlis di Dewan Tok Kemuning, di sini, sebagai manifestasi komitmen kerajaan negeri memperkasa pendidikan dan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor berkata, inisiatif itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam mengiktiraf kecemerlangan akademik di samping memastikan bantuan kebajikan terus disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kecemerlangan SPM 2025 dan Sumbangan Al-It'am Kerajaan Negeri Kelantan di Dewan Tok Kemuning, Machang pada 26 Jun.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor
Menurutnya, 20 pelajar yang memperoleh keputusan antara 5A hingga 8A menerima sumbangan sebagai penghargaan atas kecemerlangan mereka dalam peperiksaan SPM 2025.
"Bagi pelajar yang memperoleh keputusan 9A dan ke atas, sumbangan disalurkan secara terus oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui permohonan yang dibuat secara dalam talian. Pendekatan ini membolehkan penghargaan kepada pelajar cemerlang disalurkan secara lebih tersusun mengikut kategori pencapaian masing-masing,” jelasnya menerusi laman sosial, pada Sabtu.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan Sumbangan Al-It'am Kerajaan Negeri Kelantan kepada 18 penerima daripada komuniti Tionghua berpendapatan rendah sebagai usaha membantu meringankan kos sara hidup mereka.
Menurutnya, bantuan tersebut mencerminkan pendekatan kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
Beliau berharap semua penerima dapat memanfaatkan sumbangan yang diberikan sama ada sebagai dorongan untuk terus mencapai kecemerlangan dalam pendidikan mahupun membantu memenuhi keperluan harian keluarga.
“Kerajaan Negeri akan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.










