Kantin SRITI Tahfiz Al-Khalifah Machang raih gred A penilaian kebersihan premis makanan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
MACHANG, 30 Jun – Kantin SRITI Tahfiz Al-Khalifah Machang mencatat kejayaan membanggakan apabila memperoleh Gred A dalam Penilaian Kebersihan Premis Makanan yang dilaksanakan oleh Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan (UKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Pejabat Kesihatan Daerah Machang.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengurusan (ALP) SRITI Tahfiz Al-Khalifah Machang Mohd Musaddiq Mat berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan komitmen seluruh warga sekolah dalam memastikan aspek kebersihan, keselamatan makanan serta pengurusan kantin sentiasa mematuhi piawaian yang ditetapkan.
Katanya, usaha berterusan itu penting bagi menjamin murid menikmati makanan yang bersih, selamat dan berkualiti dalam persekitaran sekolah yang kondusif.
"Pencapaian ini mencerminkan kesungguhan semua pihak yang terlibat dalam mengamalkan budaya kebersihan serta memastikan pengurusan kantin berada pada tahap terbaik," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebagai menghargai komitmen warga kantin, Ahli Lembaga Pengurusan (ALP) SRITI Tahfiz Al-Khalifah Machang telah menyampaikan Sumbangan Kecemerlangan Operasi Unit Kantin sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi mereka dalam mengekalkan standard pengurusan yang cemerlang.
Tambahnya, sumbangan tersebut diharapkan menjadi pemangkin kepada warga kantin untuk terus mengekalkan prestasi yang membanggakan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Gred A yang diterima menjadi bukti kesungguhan pihak sekolah dalam membudayakan amalan kebersihan, keselamatan makanan dan pematuhan terhadap standard kesihatan yang ditetapkan.
Beliau berharap pencapaian tersebut akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang bersih, sihat dan kondusif, sekali gus menyokong pembangunan sahsiah serta kesejahteraan murid di sekolah tersebut.










