Pembukaan Mydin Mart Pasir Puteh: Sektor peruncitan berkembang, luaskan pilihan pengguna - YB Nor Asilah
Oleh: Irham Hilmi Hashim
PASIR PUTEH, 30 Jun — Pembukaan rasmi Mydin Mart Pasir Puteh mencerminkan perkembangan positif sektor peruncitan di daerah ini, sekali gus memperluas pilihan pengguna serta merancakkan pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Limbongan YB Nor Asilah Mohamed Zin berkata, kehadiran pasar raya tersebut membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi pembangunan Pasir Puteh di samping menyediakan kemudahan membeli-belah yang lebih selesa dan mudah diakses oleh masyarakat.
Menurutnya lagi, pembukaan Mydin Mart menambah pilihan kepada pengguna dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan melalui penyediaan peluang perniagaan dan peningkatan aktiviti perdagangan.
“Pembukaan Mydin Mart ini menjadi simbol kemudahan, keselesaan dan sokongan kepada perkembangan ekonomi setempat. Kehadirannya turut memberi nilai tambah kepada masyarakat dengan menyediakan pelbagai keperluan harian di bawah satu bumbung,” katanya ketika merasmikan Majlis Pembukaan Rasmi (BUKODH) Mydin Mart Pasir Puteh pada 25 Jun.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holdings Berhad Ahimmat Mydin.
YB Nor Asilah berharap Mydin Mart Pasir Puteh akan terus menjadi destinasi pilihan masyarakat, di samping menyumbang kepada pembangunan ekonomi jajahan secara mampan.










