Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad


Bengkel pemerkasaan belia, NGO selaras gerak kerja Julai hingga Disember 2026

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 30 Jun — Bengkel Pemerkasaan Belia/Beliawanis dan NGO 2026 menjadi platform penting menyelaras strategi gerak kerja pembangunan belia dan organisasi bukan kerajaan (NGO) bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini, sekali gus memastikan pelaksanaan program lebih tersusun, berkesan dan berimpak kepada rakyat.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, bengkel itu diadakan bagi menilai pencapaian program yang telah dilaksanakan di samping merangka pelan tindakan yang lebih strategik untuk baki tahun 2026.

Penyelarasan tersebut penting bagi memastikan setiap inisiatif di bawah portfolio berkenaan dapat dilaksanakan secara sistematik, memenuhi sasaran serta memberi manfaat optimum kepada golongan belia, beliawanis dan NGO di negeri ini.

Beliau berkata demikian melalui media rasmi selepas Bengkel Pemerkasaan Belia/Beliawanis dan NGO di bawah Portfolio Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan 2026 yang berlangsung di Hotel Ibis, di sini, semalam.

Menurutnya, antara fokus utama bengkel ialah meneliti laporan pelaksanaan program yang telah disempurnakan sebagai asas menilai keberkesanan, mengenal pasti kekuatan serta menambah baik kelemahan dalam pelaksanaan.

Pada masa sama, peserta turut memperincikan perancangan program yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh Julai hingga Disember bagi memastikan setiap aktiviti memberi impak lebih besar kepada pembangunan belia, beliawanis dan NGO.

Selain itu,  bengkel tersebut turut memberi penekanan terhadap penyelarasan prosedur kewangan dan tadbir urus agensi bagi memastikan setiap peruntukan diurus secara cekap, telus, berintegriti dan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.

“Pengurusan yang sistematik meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program dan memperkukuh keyakinan semua pihak terhadap pengurusan portfolio ini,” jelasnya.

Bengkel berkenaan menghimpunkan penggerak utama di bawah portfolio Exco antaranya Konfederasi NGO Kelantan (KNK), Urus Setia Belia dan Sukan (UBES), Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA), Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) serta sayap Beliawanis.

Tambahnya, penglibatan semua agensi dan organisasi berkaitan membolehkan penyelarasan gerak kerja dilaksanakan secara menyeluruh, sekali gus memperkukuh sinergi strategik dalam menjayakan agenda pembangunan belia, NGO dan perpaduan masyarakat di Kelantan.

Sehubungan itu, beliau berharap pelan tindakan yang dirangka menerusi bengkel tersebut menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program yang lebih berfokus, berimpak tinggi dan memenuhi aspirasi pembangunan belia negeri bagi separuh kedua tahun 2026.

Beliau turut menegaskan komitmen portfolio yang diterajuinya untuk terus memperkasakan pembangunan belia, memperkukuh peranan NGO serta memupuk semangat perpaduan masyarakat melalui pelaksanaan program yang inklusif, tersusun dan mampan.

Pautan berjaya disalin!