Accessibility Tools

Skip to main content

DarusSalam latih perawat Islam secara sistematik, lestarikan ilmu ruqyah

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 30 Jun — Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia (DarusSalam) terus memperkukuh usaha melatih perawat Islam secara sistematik bagi memastikan kesinambungan ilmu ruqyah dan rawatan Islam berlandaskan syariat terus lestari, sekali gus memenuhi keperluan masyarakat terhadap perkhidmatan perubatan Islam yang sahih, beretika dan diiktiraf.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pendekatan latihan berstruktur yang dilaksanakan DarusSalam menjadi asas penting dalam melahirkan lebih ramai perawat Islam yang berkelayakan serta memelihara standard amalan perubatan Islam di negara ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi DarusSalam Kelantan yang diketuai Ketua Perawat Muhammad Zuhdi bersama Penasihat, Ibrahim Saad dan Setiausaha, Azhar Jaapar di pejabatnya di Kota Darulnaim, semalam.

Menurutnya, Kursus Perubatan Islam DarusSalam Siri Ke-5 yang dilaksanakan secara bermodul merangkumi pembelajaran teori, latihan praktikal rawatan rohani, sesi tasmik dan diakhiri dengan penganugerahan Ijazah Perubatan Islam DarusSalam kepada peserta yang berjaya menamatkan latihan.

“Pelatih yang berjaya diijazahkan akan layak memohon Sijil Amalan Rawatan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), sekali gus memenuhi keperluan amalan perubatan Islam yang diiktiraf,” katanya menerusi media sosial.

Dalam pertemuan tersebut, Muhammad Zuhdi turut menyampaikan Sijil Ijazah Rawatan DarusSalam kepada YB Hilmi yang merupakan pelatih Generasi Pertama DarusSalam Kelantan.

Beliau berkata, sehingga tahun 2025, DarusSalam Kelantan telah berjaya melahirkan empat generasi perawat yang menjadi antara pemangkin perkembangan perubatan Islam di negeri ini.

Menurutnya, DarusSalam yang ditubuhkan pada tahun 2003 berperanan memelihara kesinambungan ilmu perubatan Islam berasaskan ruqyah syariah dan rawatan rohani yang diasaskan Allahyarham Dato' Ismail Kamus agar terus berkembang serta dimanfaatkan masyarakat.

Tambahnya, Allahyarham Dato' Ismail Kamus merupakan tokoh yang banyak berjasa dalam bidang dakwah dan perubatan Islam, selain pernah menganggotai panel penggubal Garis Panduan Amalan Pengubatan Islam di bawah Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Sejak tahun 2019, pengamal perubatan Islam di Malaysia disyaratkan memiliki sijil dan lesen amalan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Justeru, latihan yang tersusun dan bertauliah menjadi semakin penting bagi memastikan amalan rawatan mematuhi piawaian serta kehendak syariat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, DarusSalam Kelantan turut mencatat satu lagi pencapaian apabila berjaya membina bangunan sendiri pada pertengahan tahun 2025 bagi menempatkan Klinik DarusSalam di Lot PT 141, Kampung Lubuk Pukol, Banggu, Kota Bharu.

Katanya lagi, kemudahan itu dijangka memudahkan masyarakat mendapatkan rawatan rohani yang berlandaskan syariat Islam, di samping menyokong usaha melahirkan lebih ramai perawat Islam yang berkelayakan.

Beliau berharap program latihan yang dilaksanakan secara berterusan akan melahirkan lebih ramai perawat Islam berintegriti yang mampu membantu masyarakat menangani gangguan rohani serta membanteras amalan khurafat melalui pendekatan yang menepati syariat Islam.

Pautan berjaya disalin!