Kelantan-Petrosains teroka kerjasama strategik perluas pendidikan STEM
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Exco
KOTA DARULNAIM, 30 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan meneroka peluang kerjasama strategik bersama Petrosains Sdn. Bhd. bagi memperluas pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn. Bhd Ezarisma Azni Mohamad bersama barisan pegawai syarikat tersebut di pejabatnya, semalam.
Menurutnya, pertemuan itu turut disertai Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Ahmad Pakhruddin Deraman serta pegawai-pegawai YIK bagi membincangkan potensi kerjasama yang mampu memperkukuh pendidikan STEM khususnya kepada pelajar di Kelantan.
"Pertemuan ini membuka ruang perbincangan berkaitan potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik khususnya kepada anak-anak Kelantan.
"Saya percaya pendedahan awal kepada bidang STEM amat penting bagi melahirkan generasi pelajar yang kreatif, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan," katanya di laman rasmi, semalam.
Beliau berkata, hubungan baik yang terjalin antara Kerajaan Negeri, YIK dan Petrosains diharap dapat diterjemahkan menerusi pelaksanaan program-program pendidikan yang memberi manfaat kepada pelajar, guru serta institusi pendidikan di negeri ini.
Tambahnya, inisiatif tersebut selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasakan pembangunan modal insan melalui pengukuhan pendidikan STEM sebagai persediaan menghadapi keperluan ekonomi dan teknologi pada masa hadapan.










