14 daripada 60 lampu solar bernilai RM66,000 diterima, empat siap dipasang di Mengkebang - YB Zubir
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA KRAI, 28 Jun – Usaha meningkatkan kemudahan asas di Mengkebang terus diperkasakan menerusi pemasangan 14 daripada 60 unit lampu solar bernilai RM66,000.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar berkata, projek pemasangan lampu solar itu dilaksanakan hasil permohonan yang dikemukakan oleh Pusat Khidmat DUN (PKD) kepada kerajaan negeri bagi menyediakan kemudahan pencahayaan awam di kawasan yang memerlukan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang, YB Zubir Abu Bakar
Menurutnya, daripada keseluruhan 60 unit lampu solar yang diperuntukkan, 14 sudah diterima, empat unit telah siap dipasang di Sungai Embak dan Enggong manakala baki 10 unit yang tiba sehari sebelum itu akan dipasang dalam tempoh terdekat di lokasi-lokasi terpilih.
“Keseluruhan projek pemasangan 60 unit lampu solar ini melibatkan peruntukan sebanyak RM66,000 dan kita akan menyelesaikan pemasangannya dalam tempoh berperingkat supaya penduduk dapat menikmati kemudahan yang disediakan,” katanya menerusi media sosial, semalam.
Beliau memaklumkan, 10 unit lampu solar yang baharu tiba pada Khamis sudah pun diperiksa kualitinya bagi memastikan proses pemasangan dapat dilaksanakan segera mengikut perancangan.
YB Zubir yakin penyediaan lampu solar itu dijangka meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penduduk, khususnya di kawasan yang memerlukan pencahayaan pada waktu malam.










