Pengamal media perlu bekerja dengan itqan dan integriti selaras tema HAWANA 2026
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 14 Jun — Pengamal media perlu melaksanakan tugas dengan penuh itqan dan integriti selaras dengan tema sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, "Media Berintegriti Teras Kredibiliti".
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud berkata, tema yang digunakan pada sambutan HAWANA peringkat Persekutuan pada 20 Jun ini turut dijadikan tema Sambutan HAWANA Peringkat Negeri Kelantan tahun ini.
Beliau berkata, tema berkenaan perlu dijadikan pedoman oleh seluruh pengamal media dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
"Kita uar-uarkan supaya ia dijadikan sebagai satu pedoman kepada seluruh pengamal media kita. Biar kita bekerja selama-lamanya secara berintegriti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan HAWANA Peringkat Negeri Kelantan 2026 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Kata beliau lagi, menurut Institut Integriti Malaysia, integriti membawa maksud setiap tugas yang dilaksanakan sama ada di peringkat individu mahupun organisasi perlu berteraskan nilai jujur, benar, amanah, telus, cekap, bertanggungjawab dan bijaksana.
Katanya, nilai-nilai tersebut penting dalam membina kepercayaan masyarakat terhadap laporan dan penulisan media.
"Mereka yang mengamati penulisan berita kita akan meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap penulisan berita tersebut. Itulah yang termaktub dalam media yang berintegriti yang menjadi teras kredibiliti yang mesti dipasakkan kepada seluruh pengamal media," katanya.
Mengulas penganjuran sambutan HAWANA oleh Kerajaan Negeri Kelantan, beliau berkata program itu menjadi medium untuk memperkukuh hubungan profesional dan ukhuwah antara pimpinan kerajaan negeri dengan pengamal media.
Menurutnya, program berkenaan juga menjadi wadah untuk kerajaan negeri menyantuni pengamal media serta bekas pengamal media, termasuk mereka yang uzur dan memerlukan bantuan.
"Insya-Allah program ini akan menjadi suatu wadah untuk kerajaan negeri menyantuni seluruh pengamal dan bekas pengamal media termasuk yang mempunyai keuzuran ataupun yang susah.
"Kita akan pastikan nama-nama bekas pengamal media yang uzur juga dimasukkan dalam senarai untuk diberi bantuan atau sumbangan kebajikan," katanya.
Beliau berkata usaha kebajikan terhadap bekas pengamal media itu telah dimulakan pada sambutan HAWANA tahun lalu dan diteruskan pada tahun ini.










