Accessibility Tools

Skip to main content

1,000 orang hadir meriahkan Program Bina Ummah di Padang Rokma

Oleh: Syamimi Manah

TUMPAT, 14 Jun – Program Bina Ummah di mukim Chenderong Batu mukim Padang Rokma berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan yang berjaya menarik 1,000 penyertaan penduduk setempat di Padang Tambung, Kampung Padang Rokma, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah berkata, sambutan yang diberikan masyarakat amat memberangsangkan apabila ramai penduduk hadir bersama ahli keluarga bagi memeriahkan program yang bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam komuniti.

Menurutnya, pelbagai acara sukaneka yang disediakan bukan sahaja menceriakan suasana malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara penduduk di pelbagai peringkat usia.

“Alhamdulillah, antara yang paling menggembirakan apabila melihat ramai penduduk keluar bersama keluarga untuk memeriahkan program ini. Sambutan yang diterima membuktikan masyarakat masih menghargai program yang mampu menghimpunkan komuniti dalam suasana harmoni dan penuh kemesraan,” katanya di laman rasmi, semalam.

Selain acara Tarik tali yang mendapat perhatian ramai, terdapat juga pelbagai aktiviti menarik yang lain termasuk lari dalam guni, belon panas, teropoh gergasi, pertandingan memancing serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.

Program tersebut turut diserikan dengan pengisian K-RABB yang disampaikan oleh Pegawai Institut Latihan Darulnaim (ILDAN), Nor Atikin Othman selain pameran dan khidmat komuniti melibatkan beberapa agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pemeriksaan Kesihatan oleh Klinik Kesihatan Wakaf Bharu.

Selain itu pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan lain seperti pemeriksaan mata serta semakan Kifalah bagi warga emas, di samping dapat menikmati jamuan makan tengahari berlaukkan gulai daging kerbau yang disediakan kepada orang ramai.

Tambah YB Mohd Rusli, program itu turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk hadiah utama berupa seekor kambing.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengarah program, jawatankuasa urus setia dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran tersebut.

" Dengan sambutan yang begitu baik daripada masyarakat, program ini wajar diteruskan dan berpotensi dijadikan acara tahunan bagi memperkukuh institusi kekeluargaan serta perpaduan komuniti di Wakaf Bharu" jelasnya.

 

Pautan berjaya disalin!