PPKK Machang perkasa komuniti melalui keusahawanan Batik Terap
Oleh: Irham Hilmi Hashim
MACHANG, 14 Jun – Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Machang terus memainkan peranan penting dalam memperkasa masyarakat setempat apabila membuka peluang keusahawanan baharu berasaskan kraf tempatan melalui pelaksanaan Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Batik Terap Fasa 1.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, program yang dilaksanakan itu merupakan satu inisiatif yang amat bermakna dalam membangunkan masyarakat menerusi latihan kemahiran dan keusahawanan berasaskan warisan kraf tempatan.
Menurutnya, usaha berkenaan bukan sahaja membantu memelihara seni warisan tradisional, malah memberi peluang kepada peserta untuk memperoleh kemahiran yang boleh diterjemahkan kepada sumber pendapatan dan peluang perniagaan pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas mengadakan lawatan ke Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Batik Terap Fasa 1 di bawah PPKK Machang yang berlangsung di Dewan Al Falah, Labok, Machang, pada Khamis lalu.
Program anjuran Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan dengan kerjasama Darul Niswah DUN Pulai Chondong itu berlangsung selama empat hari bermula 8 hingga 11 Jun 2026 dan melibatkan penyertaan seramai 25 pelatih daripada komuniti Machang.
Dalam lawatan tersebut, YB Dato’ Rohani meninjau secara dekat proses pembangunan dan penghasilan produk kraf batik terap selain mendengar taklimat mengenai usaha yang dilaksanakan bagi memperkukuh industri kraf tempatan sebagai satu cabang ekonomi yang berpotensi untuk dikembangkan.
Makmal berkenaan memberi tumpuan kepada penggunaan teknik batik terap dalam menghasilkan produk hiasan meja seperti seperah, alas pinggan dan napkin yang bukan sahaja mempunyai nilai estetika, malah berpotensi dipasarkan secara lebih meluas.
Menurutnya, pembangunan kemahiran seperti itu mampu membuka ruang kepada lebih ramai peserta untuk menceburi bidang keusahawanan berasaskan kraf, sekali gus meningkatkan taraf hidup keluarga dan komuniti setempat.
Tambah beliau lagi, penguasaan kemahiran yang berkualiti merupakan antara faktor penting dalam melahirkan usahawan yang berdaya saing serta mampu menghasilkan produk bernilai tambah yang memenuhi kehendak pasaran semasa.
“Program anjuran Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan dengan kerjasama Darul Niswah DUN Pulai Chondong ini merupakan satu usaha yang amat bermakna dalam memperkasa masyarakat melalui pembangunan kemahiran dan keusahawanan berasaskan warisan kraf tempatan.
“Ia bukan sahaja membantu memelihara warisan seni kraf tradisional, malah membuka ruang kepada peserta untuk mengembangkan kemahiran serta menghasilkan produk yang mempunyai nilai komersial dan berpotensi dipasarkan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan atas komitmen berterusan dalam memartabatkan warisan kraf tempatan melalui pelbagai program pembangunan kemahiran yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan komuniti setempat perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan lebih banyak peluang latihan dan pembangunan kapasiti dapat disediakan kepada rakyat, khususnya golongan wanita.
Beliau berharap agar para pelatih dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan dengan menguasai kemahiran yang dipelajari, meningkatkan keyakinan diri serta meneroka peluang perniagaan yang mampu menjana pendapatan secara tetap.
Katanya, usaha melahirkan lebih ramai usahawan kraf tempatan akan memberi impak positif bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi keluarga, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat dan negeri secara keseluruhannya.
Turut hadir Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, YB Nor Asilah Mohamed Zin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh bersama isteri dan Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Ilvira Mohd Dasuki.
















