Pengamal media perlu pertahan integriti, kekal kepercayaan rakyat - MB Kelantan
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 14 Jun – Pengamal media perlu terus mempertahankan integriti dan etika kewartawanan agar kekal menjadi sumber maklumat yang dipercayai rakyat dalam era ledakan maklumat serta perkembangan teknologi digital yang semakin mencabar.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, kepercayaan masyarakat merupakan aset paling berharga dalam dunia kewartawanan kerana tanpa keyakinan rakyat, sesuatu laporan tidak lagi mampu membawa pengaruh dan mencapai matlamatnya.
Beliau berkata, masyarakat bukan sahaja mengharapkan maklumat disampaikan dengan pantas, malah lebih penting laporan yang diterbitkan mestilah tepat, sahih dan berintegriti.
“Dalam era ledakan maklumat hari ini, para pengamal media khususnya wartawan memikul tanggungjawab besar untuk memastikan setiap laporan yang disiarkan berasaskan fakta yang benar serta dapat dipertanggungjawabkan.
“Nilai keyakinan dan kepercayaan merupakan aset paling berharga dalam dunia kewartawanan. Hanya dengan kepercayaan masyarakat, sesuatu berita akan mencapai tujuan dan matlamatnya,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Negeri Kelantan 2026 di sebuah hotel, di sini semalam.
Menurutnya, profesion kewartawanan mempunyai hubungan yang rapat dengan ketinggian akhlak dan etika, selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan sifat amanah, jujur, adil, telus dan bertanggungjawab dalam setiap tugasan.
Tambahnya, cabaran dunia media pada hari ini menjadi semakin kompleks dengan kemunculan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), justeru pengamal media perlu terus berpegang teguh kepada prinsip kewartawanan yang berteraskan kebenaran.
“Apabila integriti itu dipelihara, media akan terus dihormati sebagai institusi yang berwibawa dalam membentuk pemikiran dan mencorakkan pembangunan masyarakat serta negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga media yang sentiasa komited menyampaikan maklumat kepada rakyat serta memainkan peranan penting merakyatkan dasar, program dan inisiatif kerajaan di peringkat akar umbi.
Beliau menyifatkan wartawan sebagai rakan strategik kerajaan dan masyarakat yang berfungsi sebagai jambatan penghubung dalam membina persefahaman, kestabilan serta kesejahteraan bersama.
“Gunakanlah pena dan platform yang dimiliki untuk menyuburkan kesatuan ummah, memperkukuh perpaduan masyarakat dan meningkatkan kesedaran rakyat demi membina masa depan negeri dan negara yang lebih aman, maju dan sejahtera,” katanya.
Pada majlis tersebut, kerajaan negeri turut meraikan empat orang bekas wartawan melalui penyampaian sumbangan khas ‘Jasamu Dikenang’, selain menyampaikan anugerah kepada 27 pemenang melalui sembilan kategori pertandingan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan besar pengamal media kepada negeri dan negara.
Sambutan HAWANA Peringkat Negeri Kelantan 2026 dianjurkan sebagai acara tahunan oleh Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) sebagai simbol penghargaan kepada peranan media dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada maklumat yang tepat, sahih dan terkini.
















