Kerajaan Negeri taja sepenuhnya Anugerah Media Kelantan, bukti penghargaan tinggi terhadap peranan media
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 14 Jun - Penganjuran Anugerah Media Kelantan 2025 yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kelantan menjadi simbol penghargaan tertinggi terhadap peranan pengamal media dalam menyampaikan maklumat tepat serta membentuk masyarakat yang bermaklumat.
Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Muhammad Yatimin Abdullah berkata, penganjuran anugerah berprestij itu merupakan satu detik bersejarah buat dunia kewartawanan negeri kerana julung kali dilaksanakan dengan tajaan penuh daripada kerajaan negeri.
Menurutnya, sebelum ini anugerah berkenaan dianjurkan menerusi kerjasama syarikat korporat dan sumbangan individu, namun penganjuran kali ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam mengiktiraf jasa dan sumbangan pengamal media.
“Ini merupakan satu pengiktirafan yang amat besar kepada seluruh warga media di Kelantan.
“Buat pertama kalinya dalam sejarah penganjuran anugerah ini, kerajaan negeri tampil sebagai penaja penuh dan perkara ini menunjukkan penghormatan yang tinggi terhadap peranan media sebagai institusi penting dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 Peringkat Kerajaan Negeri Kelantan di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana di sini semalam.
Beliau berkata, media memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat memperoleh maklumat yang tepat, sahih dan seimbang, selaras dengan tuntutan agama yang menggesa setiap berita diteliti sebelum disebarkan.
Menurutnya, prinsip tersebut telah ditegaskan oleh Allah SWT menerusi Surah Al-Hujurat ayat keenam yang menyeru umat Islam supaya menyelidiki terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
“Dalam dunia yang dipenuhi lambakan maklumat hari ini, tugas wartawan bukan sekadar melaporkan apa yang berlaku, tetapi memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada masyarakat telah melalui proses semakan dan pengesahan.
“Hakikatnya, Islam telah lama meletakkan asas integriti maklumat dan semakan fakta jauh lebih awal sebelum dunia moden memperkenalkan konsep etika media dan fact-checking,” katanya.
Muhammad Yatimin berkata, hubungan erat antara pengamal media dan kepimpinan negeri bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah terjalin sejak sekian lama bermula pada era pentadbiran Almarhum Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Menurutnya, hubungan tersebut diteruskan pada zaman pentadbiran YB Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob dan kini terus diperkukuhkan di bawah kepimpinan Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata, hubungan baik yang terjalin itu bukan bertujuan menggadaikan prinsip kewartawanan, sebaliknya memastikan saluran komunikasi antara kerajaan dan media sentiasa terbuka demi kepentingan rakyat.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud yang disifatkan sebagai individu penting dalam memperkukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dan pengamal media.
Menurutnya, idea penganjuran sambutan HAWANA peringkat negeri Kelantan juga dicetuskan oleh YB Mohd Asri selepas sambutan tersebut diperkenalkan pada tahun 2018 di peringkat kebangsaan.
“Hubungan erat yang dibina selama ini akhirnya berkembang menjadi satu gerakan besar sehingga membolehkan kita meraikan HAWANA dan Anugerah Media Kelantan dalam suasana yang cukup bermakna seperti hari ini,” katanya.
Beliau turut menyentuh cabaran besar yang sedang dihadapi industri media ketika ini susulan perubahan corak penggunaan maklumat masyarakat serta kemerosotan jualan akhbar cetak.
Menurutnya, perkembangan teknologi dan media sosial menyebabkan industri media berdepan tekanan besar, namun kerajaan negeri terus memainkan peranan penting dalam membantu kelangsungan industri tersebut melalui pembelian dan langganan akhbar di jabatan serta agensi kerajaan negeri.
“Dunia kewartawanan sedang berhadapan cabaran yang cukup besar. Namun kita bersyukur kerana kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada pengamal media melalui dasar pembelian dan langganan akhbar.
“Diharapkan sokongan ini dapat diteruskan bagi membantu industri media kekal relevan dan terus berkembang,” katanya.
Muhammad Yatimin berkata, dalam era ledakan media sosial, wartawan berperanan sebagai benteng yang menapis serta membersihkan masyarakat daripada maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kegentaran awam.
Menurutnya, tugas media hari ini bukan sahaja melaporkan berita, malah memastikan kebenaran terus dipertahankan dalam suasana penyebaran maklumat yang semakin pantas. Beliau berkata, di sebalik setiap laporan yang diterbitkan, terdapat pengorbanan besar pengamal media yang sentiasa bersedia bertugas dalam apa jua keadaan termasuk ketika bencana dan situasi kecemasan.
Penerima- penerima Sumbangan Jasamu Dikenang
Pada majlis sama, kerajaan negeri turut menyampaikan sumbangan khas kepada bekas pengamal media serta pengamal media yang kurang bernasib baik menerusi segmen “Jasamu Dikenang” sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka kepada dunia kewartawanan negeri.
Penerima sumbangan tersebut ialah Norhasram Mohamad daripada Sinar Harian, Wan Muhammad Wan Adam daripada Bernama, Muhammad Mustaqim Khairuddin daripada Bernama dan Mohamed Yaacob Derahman daripada Harakah.
Muhammad Yatimin turut menegaskan bahawa setiap peserta yang menghantar penyertaan dalam Anugerah Media Kelantan 2025 sebenarnya merupakan pemenang kerana setiap karya yang dihasilkan lahir daripada komitmen, pengalaman dan dedikasi tinggi dalam menyampaikan berita kepada masyarakat.
Beliau berharap hubungan baik antara KEMUDI dan Kerajaan Negeri Kelantan akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan demi memastikan ekosistem media yang sihat, profesional dan berintegriti terus berkembang di negeri ini.
“Media dan kerajaan mempunyai peranan masing-masing, namun matlamat akhirnya tetap sama iaitu memastikan rakyat mendapat maklumat yang benar, tepat dan bermanfaat,” katanya.
















