AKSB siap siaga hadapi musim kemarau
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 24 Februari – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengambil langkah proaktif bagi menghadapi musim kemarau yang dijangka melanda negeri ini bermula Februari hingga Julai dengan memperkukuh operasi di beberapa Loji Rawatan Air (LRA) yang dikenal pasti terjejas.
AKSB menerusi hantaran di media sosial semalam, memaklumkan bahawa sebanyak 10 daripada 43 Loji Rawatan Air (LRA) dikenal pasti berisiko terjejas berikutan penurunan paras air mentah dan akan dipantau rapi, melibatkan kira-kira 22,753 akaun pengguna.
LRA terlibat ialah LRA Pahi di Kuala Krai, LRA Jeli, LRA Kampung Putih, Pintu Geng dan Chicha di Kota Bharu, LRA Wakaf Bharu (Tumpat), LRA Wakaf Bunut (Pasir Puteh), LRA Bukit Remah (Tanah Merah), LRA Kelar (Pasir Mas) dan LRA Machang.
AKSB turut memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan telaga dan muka sauk sudah dan sedang dilaksanakan serta dijadualkan siap lebih awal sebelum April.
Pada masa sama, kapasiti pam telaga sokongan di loji berkaitan turut ditingkatkan bagi memastikan pengeluaran air terawat berada pada tahap optimum.
Selain itu, tiga telaga baharu di LRA Chicha dijangka siap sepenuhnya pada Mac bagi menambah sumber bekalan air mentah dan memperkukuh sistem agihan di kawasan terlibat.
Bagi memastikan bekalan air terus sampai kepada pengguna di jajahan terjejas, AKSB menyediakan 11 lori tangki air kontrak untuk penghantaran bekalan ke kawasan seperti Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Pasir Mas dan Tanah Merah.
Penghantaran turut melibatkan pengisian ke semua tangki statik yang ditempatkan di lokasi strategik.
Dalam usaha meningkatkan paras air sungai sebagai sumber air mentah, AKSB juga melaksanakan penyiapan benteng di beberapa LRA terpilih termasuk Bukit Remah, Jeli, Peralla, Panggung Lalat, Bertam, Limau Kasturi, Sungai Ketil dan Paloh.
AKSB menjelaskan bahawa semua langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan mitigasi bersepadu bagi meminimumkan gangguan bekalan air sepanjang tempoh kemarau, sekali gus memastikan kebajikan pengguna di negeri ini terus terpelihara.








