Accessibility Tools

Skip to main content

KGT buka permohonan pengeluaran 2 Dirham melalui platform EDND

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 24 Februari – Kelantan Gold Trade (KGT) membuka secara rasmi permohonan pengeluaran syiling perak 2 Dirham kepada pelanggan melalui platform EDND sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses pemilikan perak fizikal berasaskan simpanan digital.

Pengurus Besar KGT Wan Muhammad Najahuddin Wan Fuad berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyediakan pilihan penukaran yang telus, mudah dan patuh kepada keperluan pelanggan yang menyimpan melalui platform EDND.

“Pembukaan pengeluaran syiling perak 2 Dirham ini bertujuan memberi nilai tambah kepada pelanggan, selain memastikan proses pemilikan perak fizikal dapat dilaksanakan secara tersusun dan berintegriti,” katanya ketika dihubungi hari ini susulan kenyataan media bertarikh 20 Februari.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa produk syiling perak 1 Dirham dan 2 Dirham telah dikemas kini di DND Shop. Pelanggan kini boleh menyemak jumlah stok secara masa nyata bagi memudahkan perancangan pembelian atau penukaran.

Menurut beliau, penukaran syiling perak 2 Dirham kepada 1 Dirham dalam bentuk fizikal dibenarkan tertakluk kepada ketersediaan stok semasa dengan kadar caj RM5. Sementara itu, penukaran daripada denominasi Dirham lain kepada 2 Dirham boleh dibuat dengan kadar caj RM10, juga bergantung kepada stok yang ada.

“Kami menasihatkan pelanggan agar membuat semakan awal serta melengkapkan permohonan pengeluaran atau penukaran melalui DND Shop sementara stok masih tersedia, memandangkan jumlah tawaran adalah terhad,” jelasnya.

Tambahnya, KGT turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan kepercayaan berterusan pelanggan terhadap perkhidmatan yang disediakan, selain menggalakkan orang ramai mengikuti saluran rasmi KGT bagi mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.