Accessibility Tools

Skip to main content

PKB sumbang RM23,000 untuk Laman Santai HRPZ II

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 3 Februari - Permodalan Kelantan Berhad (PKB), syarikat anak Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyumbang barangan bernilai RM23,000 kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, bagi kegunaan pelawat di Laman Santai hospital berkenaan.

Sumbangan itu merangkumi sebuah buaian wakaf, empat set kerusi batu dan dua set kerusi berangkai yang bertujuan menyediakan ruang rehat lebih selesa kepada pelawat serta ahli keluarga pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Dato’ Sr Zamri Ismail, berkata, PKB bukan sahaja menjalankan perniagaan gadaian, bahkan turut menitik berat tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Menurutnya, sebelum ini PKB pernah menyumbang kerusi untuk kegunaan penumpang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

“Hari ini, PKB meneruskan komitmen itu dengan menyumbang beberapa kemudahan untuk digunakan oleh pelawat di Laman Santai HRPZ II.

“Inisiatif ini adalah salah satu usaha PKB berkongsi dengan pihak hospital bagi menyediakan ruang kepada pelawat dan keluarga pesakit untuk berehat sementara menunggu urusan rawatan selesai.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Lama Santai HRPZ II, tajaan PKB, di Hospital Raja Perempuan Zainab II, hari ini.

Kata beliau lagi, sumbangan berkenaan juga mencerminkan usaha PKB berkongsi keuntungan dengan masyarakat, selain membantu pihak hospital meningkatkan tahap keselesaan kepada pelawat.

Sementara itu, Pengarah Hrpz II, Dr Izamin Idris merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PKB atas sumbangan yang disifatkan sangat bermakna.

Katanya, inisiatif itu amat dihargai dalam usaha meningkatkan keselesaan keluarga pesakit dan pelawat, sekali gus mewujudkan persekitaran hospital yang lebih kondusif.

“Sokongan berterusan daripada PKB membuktikan komitmen syarikat dalam membantu institusi seperti hospital untuk memberi persekitaran yang selesa kepada masyarakat,” katanya.

Tambah Dr Izamin, kemudahan yang disumbangkan itu memberi nilai tambah kepada kesejahteraan emosi pelawat kerana ia boleh dimanfaatkan sebagai ruang berehat dan menenangkan fikiran sementara menunggu urusan rawatan ahli keluarga.

Beliau turut menegaskan komitmen HRPZ II untuk menjaga kemudahan yang diterima dengan sebaiknya supaya dapat dimanfaatkan dalam jangka panjang, selain berharap jalinan kerjasama antara HRPZ2 II dan PKB akan terus berkekalan.

Turut hadir, Pengurus Besar PKB Hassan Shukri Hussein.