Mahasiswa perlu jadikan Islam sebagai tujuan utama dalam segala gerak kerja - Dato' Wan Roslan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 3 Februari - Mahasiswa diingatkan agar menjadikan Islam sebagai tujuan utama dalam setiap gerak kerja dan penglibatan, selaras dengan peranan mereka sebagai golongan terpelajar yang bakal memimpin masyarakat pada masa hadapan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, prinsip itu telah lama menjadi tunjang pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan menerusi moto Membangun Bersama Islam sejak diperkenalkan pada 1990.
Beliau berkata, pelaksanaan prinsip berkenaan diterjemahkan melalui pelbagai dasar dan langkah berani yang diambil oleh kerajaan negeri termasuk penutupan premis perjudian serta menghadkan penjualan arak bagi memelihara nilai Islam dan kesejahteraan masyarakat.
“Oleh itu, mahasiswa perlu memperkukuhkan kefahaman agama dan menolak segala bentuk fahaman atau isme yang menyimpang daripada ajaran Islam,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.
Katanya lagi, kerajaan negeri amat menitik berat pendidikan agama sebagai asas pembinaan sahsiah, di samping menggalakkan penguasaan dalam bidang sains, teknologi serta kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan ummah yang seimbang dan berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru mahasiswa supaya bersikap terbuka dalam menangani isu semasa, sentiasa bergantung kepada Allah SWT dalam setiap tindakan serta berusaha meningkatkan keilmuan sehingga mencapai kejayaan.
“Mahasiswa harus istiqamah dalam menuntut ilmu, beradab ketika berbeza pandangan dan berperanan sebagai agen kebaikan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Dato' Wan Roslan juga mengingatkan kepentingan menjaga kestabilan masyarakat berbilang kaum, sambil memaklumkan kerajaan negeri telah melaksanakan lebih 20 program kebajikan tanpa mengira kaum, antaranya Skim Khairat Kifalaah, Skim It‘am dan Skim Gerbang Az-Ziwaaj.
Katanya, pendekatan itu mencerminkan keprihatinan sosial yang menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.
Dalam aspek pentadbiran, beliau menegaskan prinsip pengekangan nafsu kuasa sentiasa menjadi pegangan kepimpinan negeri, dengan rekod menunjukkan sehingga kini tiada pimpinan negeri didakwa atas kes rasuah.
Terdahulu, Dato' Wan Roslan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pelajar Malaysia Tunisia (PERMAT) sempena lawatan kerja ke Tunisia.
Turut menyertai delegasi, Pengerusi PIBG Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim YAKIN Nik Jessim Tan Sri Nik Hashim serta Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Shamsul Abu Bakar.












