Kelantan cadang laksana sistem pengenalpastian ternakan bersepadu
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 13 Januari - Kerajaan Negeri Kelantan bercadang melaksanakan Sistem Pengenalpastian Ternakan menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) secara bersepadu membabitkan beberapa agensi utama kerajaan negeri dan Persekutuan.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail,berkata pelaksanaan sistem itu akan melibatkan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK).
Menurutnya, sistem berkenaan dijangka mampu memperkukuh aspek biosekuriti, mempercepatkan pengesanan penyakit ternakan serta meningkatkan kecekapan penguatkuasaan MAQIS dan JPVNK, khususnya di pintu masuk sempadan negeri.
“Bagaimanapun, kaedah pelaksanaan perlu diperhalusi di pelbagai peringkat bagi memastikan kesediaan semua pihak, selain menyokong keperluan pasaran domestik dan eksport melalui sistem pengurusan ternakan yang lebih telus, berintegriti dan berasaskan data,” katanya menerusi media sosial pada Isnin.
Terdahulu, Dato' Tuan Mohd Saripudin mempengerusikan Mesyuarat Cadangan Pelaksanaan Sistem Pengenalpastian Ternakan (RFID) bersama UPEN, KPKB, MAQIS dan JPVNK bagi menyelaras pelaksanaan sistem itu secara bersepadu antara agensi berkaitan.
Jelasnya, perbincangan menumpukan aspek teknikal termasuk kaedah penandaan ternakan menggunakan ear tag dan bolus RFID, penggunaan peranti pembaca RFID, integrasi data ke dalam pangkalan data berpusat serta pematuhan standard kebolehkesanan (traceability).
“Ia penting bagi tujuan pemantauan kesihatan ternakan, pergerakan serta rekod ternakan secara menyeluruh,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengadakan mesyuarat bersama JPVNK bagi menyelaras hala tuju perancangan sepanjang 2026, khususnya membabitkan pengurusan kesihatan ternakan, kawalan penyakit serta pemerkasaan rantaian industri ternakan negeri.
Perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada penyelarasan antara agensi, pemantapan pelaksanaan di peringkat lapangan serta kesiapsiagaan menghadapi cabaran semasa yang memberi kesan kepada keterjaminan makanan dan industri agroternakan negeri.
“Insya Allah, penyelarasan yang lebih tersusun dan berfokus ini diharap dapat memastikan setiap inisiatif dirancang berjalan lebih berkesan, memberi impak langsung kepada penternak serta memperkukuh sektor veterinar negeri sepanjang tahun 2026,” katanya.












