Accessibility Tools

Skip to main content

Kemasukan tingkatan satu sekolah YIK 2026 meningkat 2.9 peratus

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 13 Januari – Kemasukan murid tingkatan satu di sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi sesi persekolahan tahun 2026 mencatatkan peningkatan sebanyak 169 pelajar atau bersamaan 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat memaklumkan bahawa analisis hari pertama persekolahan pada tahun ini menunjukkan perkembangan positif bagi sekolah-sekolah di bawah kelolaan YIK.

Menurutnya, jumlah keseluruhan pelajar tingkatan satu pada tahun 2025 adalah sebanyak 5,676 orang, manakala bagi tahun 2026, bilangan pelajar telah meningkat kepada 5,845 pelajar.

“Peningkatan ini memperlihatkan keyakinan berterusan ibu bapa terhadap sistem pendidikan YIK" katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan kategori sekolah, Maahad mencatatkan jumlah pelajar tertinggi sebanyak 3,052 orang, diikuti Maahad Tahfiz dan Maahad Tahfiz Sains dengan 604 pelajar.

Bagi Sekolah Menengah Ugama (Arab) pula, sebanyak 1,225 pelajar direkodkan, manakala Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) mencatatkan kemasukan sebanyak 964 pelajar bagi tingkatan satu pada tahun ini.

Terdahulu, beliau diiringi Pengarah YIK Shamsul Abu Bakar serta beberapa pegawai pengurusan tertinggi YIK mengadakan kunjungan ke Sekolah Maahad Amir Indera Petra sempena hari pertama sesi persekolahan pada 11 Januari lalu.

"Kunjungan ini bertujuan meninjau persiapan sekolah serta menyantuni warga pendidik dan para pelajar yang memulakan sesi pembelajaran bagi tahun 2026," katanya.

Dalam kunjungan itu juga beliau mengambil peluang beramah mesra dengan para pelajar dan menitipkan pesanan motivasi kepada para pelajar.

“Saya juga sempat bertanya khabar para pelajar tingkatan 1, tingkatan 4 dan tingkatan 5 serta menyampaikan kata-kata semangat agar mereka terus berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, menjaga disiplin dan memanfaatkan peluang pembelajaran dengan sebaiknya demi masa depan yang lebih cemerlang" ujarnya.

Dato' Wan Roslan turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan sekolah dan para guru atas komitmen yang diberikan dalam memastikan kelancaran sesi persekolahan 2026.