Accessibility Tools

Skip to main content

Bantuan awal persekolahan Kelantan diagihkan melalui PKD

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA DARULNAIM, 7 Januari - Menjelang pembukaan sesi persekolahan tahun 2026 Kerajaan Negeri Kelantan tampil dengan langkah proaktif meredakan tekanan kos sara hidup apabila menyalurkan bantuan awal persekolahan secara menyeluruh di semua Pusat Khidmat Dewan Negeri (PKD). 

Tindakan tersebut sekali gus memastikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan memulakan tahun akademik baharu dengan lebih yakin dan terjamin.

Keprihatinan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap kebajikan rakyat dizahirkan menerusi pelaksanaan bantuan awal persekolahan bagi membantu keluarga kurang berkemampuan membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan 2026 yang bermula minggu hadapan.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan secara menyeluruh di semua 45 buah PKD di Kelantan.

Agihan tersebut melibatkan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah daripada latar belakang keluarga yang memerlukan.

Menurutnya, bantuan berkenaan dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dan berperanan sebagai suntikan motivasi kepada anak-anak untuk memulakan sesi pembelajaran dalam suasana lebih selesa dan berkeyakinan.

“Insya Allah, usaha ini diharap dapat membantu keperluan asas persekolahan di samping memberi dorongan kepada anak-anak untuk melangkah ke alam persekolahan baharu dengan semangat yang tinggi,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan peringkat Dewan Negeri Meranti di Madrasah Nasrullah Pohon Buluh, Pasir Mas.

Pada majlis berkenaan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Kelantan Darulnaim serta warga PKD yang bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.

“Semoga segala usaha ini diberkati Allah SWT dan menjadi saham kebaikan demi masa depan anak-anak serta kesejahteraan rakyat Kelantan,” katanya.