Accessibility Tools

Skip to main content

Perancangan jalan raya selari RT dan RSN, pacu ekonomi negeri - Dato' Dr Izani

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 7 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan memberi penekanan berterusan terhadap penelitian dan penyelarasan perancangan laluan utama agar selari dengan Rancangan Tempatan (RT) dan Rancangan Struktur Negeri (RSN), sebagai teras pengukuhan sistem jalan raya yang berfungsi memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar, YB Dato’ Dr Izani Husin memaklumkan bahawa sistem rangkaian jalan raya di Kelantan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri sebagai pemangkin utama pembangunan sosioekonomi, sejajar dengan kedudukan strategik Kelantan sebagai pintu masuk darat Malaysia–Thailand di Pantai Timur serta pintu masuk udara wilayah Pantai Timur melalui Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

Jelasnya, perancangan laluan utama negeri sentiasa diteliti secara menyeluruh bersama JKR Negeri Kelantan bagi memastikan keserasian dengan RT dan RSN, sekali gus menjamin pembangunan infrastruktur yang terancang dan mampan.

Menurutnya, dalam Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), laluan penghubung Kota Bharu–Rantau Panjang yang menghubungkan Kelantan dengan Thailand telah dikenal pasti sebagai antara projek tumpuan utama.

“Bagi Rolling Plan 2 (RP2) RMK13 pula, JKR Negeri Kelantan memfokuskan permohonan kepada jalan-jalan penghubung ke LTSIP yang bakal beroperasi sepenuhnya, bagi meningkatkan aksesibiliti rakyat, pelancong serta pemain industri ke dan dari Kelantan,” hurainya menerusi media sosial, pada Selasa.

Beliau turut meneliti sesi pembentangan RMK13 yang melibatkan senarai permohonan projek Rolling Plan 2 berkaitan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta portfolio di bawahnya, dengan keutamaan diberikan kepada projek jalan raya dan bekalan air terawat.

Menurutnya, projek-projek berkenaan penting bagi memenuhi keperluan rakyat serta menyokong pembangunan ekonomi dan kesejahteraan negeri secara menyeluruh.

Dalam perkembangan yang sama, Dato’ Dr Izani merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan beberapa projek yang tersenarai dalam senarai keutamaan Negeri Kelantan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan terhadap pembangunan infrastruktur di negeri itu.