Accessibility Tools

Skip to main content

RMQ lahirkan orang baik, ajak orang jadi baik – YB Zamakhshari

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 7 Januari – Komuniti Rakan Muda Al-Quran (RMQ) berperanan melahirkan generasi anak muda yang bukan sahaja membaiki diri, malah mengajak dan membimbing orang lain ke arah kebaikan berteraskan ajaran Islam dan Al-Quran.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, RMQ lahir daripada satu idea untuk membentuk satu kumpulan rakan sebaya yang cintakan Islam.

“RMQ lahir daripada satu idea untuk menghimpunkan anak muda yang sebaya, satu peer group yang cintakan Islam dan menjadikan Al-Quran sebagai asas kehidupan. Ia menjadi wadah terbuka untuk berdakwah, bergerak bersama dan saling menguatkan,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan santai bersama-sama mantan peserta program RMQ di sebuah kafeteria, di Kota Bharu pada Selasa.

Terdahulu, belia dan beliawanis tersebut telah menyertai program RMQ anjuran Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) dan Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) di Masjid Muhammadi Kota Bharu pada 13 Disember lalu.

Menurut YB Zamakhshari lagi, golongan anak muda yang memilih jalan kebaikan tidak seharusnya berhenti pada pembaikan diri semata-mata, sebaliknya perlu berperanan membawa kebaikan kepada orang lain.

“Saya tekankan bahawa orang baik tidak seharusnya berhenti pada kebaikan diri sendiri. Kita mahu lahirkan orang baik yang membaikkan orang lain. Di situlah peranan RMQ,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi perlu dizahirkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian, selari dengan pendekatan RMQ yang bersifat menyeluruh.

“Al-Quran tidak hanya dibaca, tetapi dijelmakan dalam kehidupan. RMQ bersifat merentasi pelbagai minat dan latar, namun terasnya tetap Al-Quran. Setiap langkah, aktiviti dan pemikiran kembali kepada nilai Al-Quran,” tegasnya.

Tambahnya, pendekatan RMQ bukan sahaja membawa anak muda mendekati Al-Quran, malah membawa Al-Quran masuk ke dalam kehidupan anak muda itu sendiri.

“Kita bukan hanya membawa anak muda mendekati Al-Quran. Tetapi kita membawa Al-Quran masuk ke dalam kehidupan anak muda,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, YB Zamakhshari menyatakan hasrat RMQ adalah untuk menghimpunkan sejumlah anak muda terpilih dan menampilkan kepada masyarakat gambaran sebenar generasi muda Kelantan.

“Hasratnya adalah untuk menghimpunkan seramai mungkin anak muda dan menzahirkan kepada masyarakat bahawa inilah wajah anak muda Kelantan. Anak muda yang cintakan Al-Quran dan menjadikannya panduan hidup,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pertemuan santai bersama komuniti RMQ pada malam tersebut telah membuka ruang kepada beberapa cadangan serta perbincangan program yang bakal dilaksanakan untuk anak muda Kelantan di bawah RMQ.