Accessibility Tools

Skip to main content

Kes penyalahgunaan dadah di Kelantan turun 7.4 peratus pada 2025

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 24 Disember - Kes penyalahgunaan dadah di Kelantan menunjukkan trend penurunan sebanyak 7.4 peratus bilangan penyalah guna dan penagih dadah bagi tahun 2025 berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Kelantan yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Zamakhshari Muhamad berkata, berdasarkan statistik yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PEMADAM Negeri Kelantan pada Selasa menunjukkan jumlah penagih dadah menurun daripada 15,448 orang pada 2024 kepada 14,320 orang pada 2025 iaitu penurunan sebanyak 1128 kes.

Menurutnya, jumlah kes penyalahgunaan dadah juga turut mencatatkan penurunan apabila direkodkan sebanyak 25,091 kes pada 2025 berbanding 25,673 kes pada 2024, iaitu pengurangan sebanyak 582 kes.

Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Kelantan, YB Zamakhshari Muhamad

“Dari segi penguatkuasaan, jumlah tangkapan juga menurun daripada 27,402 tangkapan pada 2024 kepada 26,384 tangkapan pada tahun ini, iaitu penurunan sebanyak 1,018 tangkapan,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa penurunan angka tersebut tidak seharusnya diraikan secara berlebihan, sebaliknya dilihat sebagai petunjuk bahawa usaha berterusan yang dilaksanakan selama ini mula menampakkan hasil.

Tambahnya, isu dadah tidak boleh diselesaikan semata-mata melalui pendekatan tangkap dan hukum, sebaliknya memerlukan strategi menyeluruh yang menekankan pencegahan awal serta penglibatan masyarakat.

“Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melaksanakan ratusan program pencegahan yang melibatkan institusi keluarga, sekolah, tempat kerja dan komuniti setempat. Pendekatan ini penting kerana punca masalah dadah sering bermula daripada persekitaran terdekat dengan kehidupan seharian,” ujarnya.

Jelas YB Zamakhshari lagi, Kerajaan Negeri Kelantan kekal komited menjadikan usaha memerangi dadah sebagai satu jihad bersama, namun kejayaan tersebut tidak akan tercapai tanpa peranan aktif rakyat.

“Apabila masyarakat cakna, berani menegur dan sanggup bekerjasama dengan pihak berkuasa serta agensi berkaitan, di situlah bermulanya perubahan sebenar,” tegasnya.

Tambahnya, isu dadah bukan isu individu semata-mata, sebaliknya melibatkan keluarga, komuniti serta masa depan negeri, dan memerlukan sokongan berterusan semua pihak bagi memastikan usaha pencegahan dapat diteruskan secara berkesan.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PEMADAM Negeri Kelantan yang mencapai beberapa kesepakatan penting berkaitan program dan inisiatif baharu yang akan memberi manfaat kepada rakyat Kelantan secara menyeluruh.