Accessibility Tools

Skip to main content

RM30,000 baucar Kembali ke Sekolah untuk pelajar DUN Guchil

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco
 
KOTA DARULNAIM, 24 Disember – Seramai 300 pelajar di DUN Guchil menerima baucar persekolahan bernilai keseluruhan RM30,000 menerusi Program Ceria Ke Sekolah (Back To School) anjuran bersama Pusat Khidmat ADUN Guchil dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan di Hasmadi Textile cawangan Kuala Krai, semalam.
 
Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil YB Hilmi Abdullah berkata, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban keluarga yang memerlukan dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak menjelang pembukaan sesi baharu tahun 2026.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan baucar yang diagihkan, sebanyak 200 baucar merupakan sumbangan Pusat Khidmat DUN Guchil manakala baki 100 baucar lagi disumbangkan oleh TNB Kelantan sebagai manifestasi tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.
 
YB Hilmi turut merakamkan penghargaan kepada TNB Kelantan atas keprihatinan serta komitmen berterusan dalam membantu masyarakat setempat, khususnya golongan yang memerlukan.
"Terima kasih kepada TNB atas keperihatinan dan kebersamaan dalam membantu kami meringankan beban keluarga yang memerlukan bagi membuat persiapan persekolahan anak-anak" katanya di laman rasmi, hari ini.
 
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan menyeru syarikat-syarikat korporat, para usahawan, badan bukan kerajaan (NGO) serta para dermawan untuk terus bersama-sama menyokong usaha kebajikan dan pendidikan agar segala keperluan persekolahan anak-anak dapat disediakan dengan sebaiknya.
 
“Insya-Allah, segala sumbangan yang dihulurkan pasti akan diganjarkan dengan pahala berlipat kali ganda oleh Allah SWT,” ujarnya.