SHMMP dilancar, sembilan barangan terkawal ditawar sempena jualan musim perayaan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 24 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 yang berlangsung selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember ini bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, program berkenaan menawarkan harga terkawal bagi sembilan jenis barangan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
“Antara barangan yang ditawarkan ialah kobis bulat, lobak merah, tomato, lada benggala, cili merah, ubi kentang dan beberapa barangan lain,” katanya kepada media selepas perasmian Program Harga Rahmah Musim Perayaan (HRMP) di sebuah pasar raya di Tunjong, pada Selasa.
Majlis pelancaran disempurnakan bersama Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman.
Dalam pada itu, Azman memaklumkan KPDN Kelantan turut melaksanakan Program Rahmah Kembali ke Sekolah bermula 18 Disember 2025 hingga 10 Januari 2026.
“Program ini melibatkan 43 pasar raya serta kedai yang menjual barangan persekolahan dengan subsidi 30 peratus bagi keperluan asas seperti kasut, pensel, beg dan lain-lain,” katanya.
Sementara itu, Dato' Md Anizam menyeru seluruh rakyat Kelantan agar mengambil peluang berkunjung ke pasar raya yang menawarkan harga musim perayaan serta menyertai program kembali ke sekolah bagi mendapatkan barangan persekolahan dan keperluan pada harga yang berpatutan. .
“Program ini amat baik untuk membantu rakyat, khususnya ibu bapa dan anak-anak sekolah yang akan memulakan sesi persekolahan pada Januari nanti,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KPDN Kelantan serta penguat kuasa atas kerjasama erat dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan inisiatif berkenaan demi meringankan beban rakyat, khususnya sempena musim perayaan dan persiapan persekolahan.
















