Belanjawan Kelantan 2026 banyak beri manfaat kepada rakyat
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: TV IPTG
KOTA DARULNAIM, 19 November – Belanjawan Negeri Kelantan 2026 berjumlah RM1.02 bilion yang dibentangkan Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud pada 6 November lalu disifatkan sebagai belanjawan rakyat yang memberi manfaat luas kepada rakyat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor YB Saizol Ismail berkata, beberapa fokus dan strategi utama digaris kerajaan negeri bagi memastikan manfaat belanjawan dapat disalurkan secara menyeluruh.
Menurutnya, fokus pembelaan dan pemberdayaan rakyat terus diperkukuh dengan peruntukan RM134 juta melalui pelbagai bentuk bantuan seperti pembinaan rumah dhuafat, bantuan cakna aulad, bantuan penyakit kronik dan skim kifalah.
“Kerajaan negeri menambah peruntukan pembinaan rumah dhuafat di setiap DUN daripada tiga buah kepada empat buah setahun. Peruntukan di bawah pembelaan dan pemberdayaan rakyat juga dikekalkan setiap tahun dan tidak pernah dikurangkan.
"Dengan erti kata lain, Kerajaan Negeri Kelantan cakna terhadap rakyat bermula dari mereka dilahirkan hingga meninggal dunia," jelasnya dalam rancangan Sisi Pandang, terbitan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), yang berlangsung di studio IPTG Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
YB Saizol turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan dana bagi membangunkan marketplace bertujuan membantu usahawan kecil mempromosikan produk mereka secara lebih sistematik.
“Ramai usahawan kini mempromosikan produk dari rumah atau studio masing-masing. Melalui inisiatif ini, kerajaan menyediakan satu hab digital untuk mempamer dan memasarkan produk mereka. Ini satu langkah yang amat baik,” katanya.
Di bawah fokus keterjaminan makanan dan kemampanan ekonomi, sebanyak 11.6 peratus daripada belanjawan diperuntukkan bagi meningkatkan kualiti pertanian dan memperkukuh zon makanan negeri.
Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada isu saliran terutama dalam penanaman padi bagi memastikan pengeluaran padi di Kelantan tidak terjejas.
Dari aspek kemampanan ekonomi, kerajaan memfokuskan pembangunan Madinah As-Salam, Madinah Ramadan serta sektor pelancongan sebagai pemangkin pertumbuhan baharu.
Sementara itu, di bawah fokus kesejahteraan rakyat, peruntukan disalurkan bagi menaik taraf infrastruktur seperti jalan kampung dan sistem saliran di kawasan strategik termasuk Tunjong.
“Setiap pembangunan mesti disertai penyelesaian isu infrastruktur supaya tidak menjejaskan penduduk sekitar,” katanya.
Tambahnya, sektor pendidikan turut menerima perhatian signifikan apabila lebih RM100 juta diperuntukkan bagi memperkukuh potensi pendidikan negeri dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, khususnya dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan berintegriti.
Menurut YB Saizol lagi, masyarakat luar turut mengakui kualiti sistem pendidikan di Kelantan, dan kerajaan negeri komited meneruskan usaha meningkatkan pencapaian tersebut.








