Accessibility Tools

Skip to main content

Program SOF perluaskan amalan pertanian lestari di Kelantan

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 19 November – Program Semarak Organik Al-Falah (SOF) khususnya tanaman padi organik merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperluaskan amalan pertanian organik di negeri ini.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata pelaksanaan program SOF bertujuan memperkenalkan penggunaan baja organik yang lebih mesra alam, mampu memulihkan struktur tanah serta berpotensi meningkatkan hasil padi secara mampan.

"Pendekatan ini bukan sahaja menyokong keseimbangan ekosistem pertanian, malah seiring dengan agenda kerajaan negeri dalam memperkukuhkan sektor pertanian melalui kaedah lestari dan mampan," katanya menerusi hantaran di media sosial, pada Ahad.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) selaku pembekal dan pelaksana utama program tersebut, yang memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan serta penyediaan input organik dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Program berkenaan turut mencatat kejayaan apabila berjaya menghimpunkan 400 petani daripada 16 mukim di sekitar kawasan Dewan Negeri Selising.

Penyertaan tersebut membuktikan komitmen tinggi para pesawah dalam meningkatkan produktiviti melalui kaedah organik yang lebih selamat dan berkualiti.

Sehubungan itu, Dato’ Mohd Tuan Saripudin juga berharap program berkenaan dapat memberi impak positif terhadap pengeluaran padi di kawasan terlibat, selain meningkatkan kesejahteraan dan pendapatan pesawah dalam jangka panjang.