Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat


Karnival Rakyat Kelantan 2026 platform dekatkan kerajaan dengan rakyat

  • 25 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 44

KOTA BHARU, 25 Oktober - Karnival Rakyat Kelantan 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Oktober di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhamad IV  menjadi platform mendekatkan kerajaan dengan rakyat, memperkenalkan perkhidmatan kerajaan dan memperlihatkan usaha bersama dalam membangunkan negeri.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, penyertaan pelbagai agensi seperti agensi keselamatan, institusi pendidikan, agensi pembangunan dan badan berkanun sepanjang karnival itu membuktikan bahawa pembangunan negeri memerlukan kerjasama semua pihak.

“Daripada aspek keselamatan, rakyat didedahkan kepada peranan pasukan keselamatan dan kepentingan menjaga kesejahteraan komuniti, manakala daripada aspek pendidikan, masyarakat diberikan peluang mengenali perkembangan ilmu, teknologi dan kemahiran yang penting untuk menghadapi masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Karnival Rakyat Kelantan 2026 sempena sambutan 36 tahun Membangun Bersama Islam, di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhamad IV, di sini, semalam.

Katanya, kerjasama yang dizahirkan sepanjang karnival itu perlu diteruskan dalam pelaksanaan dasar dan program kerajaan bagi memastikan setiap agensi bergerak seiring, sumber dimanfaatkan dengan sebaiknya agar setiap usaha pembangunan memberikan nilai tambah kepada rakyat.

“Kita tidak mahu pembangunan yang hanya kelihatan pada angka dan bangunan, tetapi pembangunan yang benar-benar dirasai dalam kehidupan rakyat.

“Kita mahu rakyat yang berilmu, keluarga yang sejahtera, masyarakat yang saling membantu dan generasi muda yang mampu menghadapi perubahan zaman tanpa kehilangan jati diri serta pegangan agama,” jelasnya.

Beliau menegaskan, sambutan Membangun Bersama Islam kali ke-36 memperingati perjalanan yang telah dilalui dan mengingatkan semua pihak mengenai tanggungjawab memastikan falsafah itu terus diamalkan dalam pentadbiran dan kehidupan masyarakat.

Katanya lagi, nilai amanah, integriti, keadilan dan ihsan perlu diterjemahkan dalam pentadbiran serta kehidupan bermasyarakat, selaras dengan matlamat membangunkan negeri yang bukan hanya menumpukan pembangunan fizikal, tetapi turut membina insan berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab.

Dalam pada itu katanya, antara hasil usaha pembangunan pendidikan berteraskan Islam di Kelantan ialah penubuhan Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat di Pulai Chondong oleh Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz, yang kemudiannya diikuti penubuhan maahad tahfiz lain.

Tambahnya, usaha itu sehingga kini melahirkan seramai 5,730 hufaz yang khatam 30 juzuk al-Quran dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri serta negara.

"Pencapaian ini memperlihatkan kepentingan pendidikan dan pembinaan insan sebagai antara asas pembangunan negeri yang berteraskan falsafah Membangun Bersama Islam," ujarnya.

Hadir sama, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd, Asri Mat Daud, Pengarah Institut Latihan Darulnaim (ILDAN) Dr Azizi Umar dan Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Razuan Awang Hamad.

Pautan berjaya disalin!