Accessibility Tools

Skip to main content

DVS Kelantan beri perhatian serius pelaksanaan Enakmen Perladangan Unggas

  • 22 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 26

KOTA BHARU, 22 September - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Kelantan memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan Enakmen Perladangan Unggas sebagai mekanisme memastikan aktiviti penternakan unggas di negeri ini dilaksanakan secara teratur.

Pengarahnya, Dr Yahasmida Yaacob berkata pelaksanaan enakmen berkenaan juga bertujuan memastikan penternak mematuhi keperluan yang ditetapkan, selain mengambil kira aspek kesihatan haiwan, biosekuriti, kebersihan ladang, kebajikan ternakan dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, Enakmen Perladangan Unggas Negeri Kelantan terpakai kepada semua penternak unggas, pembiak baka unggas, loji pemprosesan unggas dan juga pusat jualan unggas.

"Dengan adanya rekod dan pengurusan ladang yang lebih sistematik, jabatan dapat memberikan perkhidmatan veterinar dengan lebih baik, khususnya dalam pemantauan penyakit, khidmat nasihat serta bantuan teknikal."

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan alu-aluan di majlis Gimik Penyampaian Bantuan Ternakan Unggas dan Kursus Penternakan Ayam Kampung 2026, di sebuah hote, di sini, semalam.

Ujar Dr Yahasmida lagi,  sehingga kini sebanyak 160 lesen unggas sudah dikeluarkan DVS, membabitkan 145 lesen ayam pedaging, lima ayam penelur, tiga ladang puyuh pedaging dan satu pusat penetasan.

Ia turut membabitkan dua ladang itik penelur, tiga ladang ayam kampung dan satu ladang itik pedaging.

Tambahnya, bagi memaksimumkan pengeluaran unggas dan telur di ladang masing-masing, pihak Jabatan Veterinar sedia membimbing semua penternak unggas di bawah Program Pengembangan Veterinar.

"Setiap ladang akan dikhaskan seorang pegawai pembimbing untuk memantau perkembangan projek penternak," katanya.

Dr Yahasmida turut menyeru semua penerima bantuan unggas DVS supaya menjadikan bantuan yang disalurkan sebagai pemangkin untuk terus berkembang dan kekal dalam industri sebagai pengeluar sumber makanan kepada rakyat Kelantan.

Dalam pada itu, beliau mempersilakan orang ramai mengunjungi laman unggas di Pesta Flora yang akan diadakan dari 24 hingga 27 September bersempena perayaan ulang tahun keputeraan ke-57 Sultan Kelantan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V.

Pautan berjaya disalin!