PKPNK adakan jualan ladang di Agrovalley Rong Chenok pada 1 Ogos
Oleh: Asri Hamat
PASIR MAS, 26 Julai – Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) akan mengadakan jualan ladang di Agrovalley Rong Chenok, di sini, pada Sabtu, 1 Ogos ini, bermula pukul 8 pagi hingga 3 petang bagi memperkenalkan pusat agropelancongan itu kepada orang ramai.
Sehubungan itu, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program itu menghimpunkan pelbagai hasil tanaman dan ternakan keluaran PKPNK yang dijual terus kepada pengguna pada harga ladang.
Katanya, antara hasil yang ditawarkan ialah sayuran seperti salad, sawi dan cili kulai, selain buah Malon Madu Kelantan (MMK) daripada tiga varieti, buah tin, benih pokok tin, ayam segar, ikan tilapia, ikan keli serta benih ikan tilapia.
"Buah Malon Madu Kelantan bersaiz premium dijual pada harga RM13 sekilogram, manakala saiz biasa RM10 sekilogram.
"Salad pula dijual pada harga RM4 sekilogram dan sawi RM2 bagi setiap 250 gram serta cili dijual pada harga RM8 sekilogram. Tanaman salad dan sawi diusahakan menggunakan sistem hidroponik yang selamat daripada bahan beracun," katanya kepada media sempena lawatan beliau ke Ladang Agrovalley Rong Chenok, hari ini.
Tambahnya, ayam segar dijual pada harga RM7 sekilogram, manakala ikan tilapia RM8 sekilogram.
Di samping itu, bagi benih ikan tilapia bersaiz tiga inci dijual pada harga 35 sen seekor manakala benih bersaiz empat inci berharga 40 sen seekor.
Menurutnya lagi, pengunjung yang hadir turut berpeluang memetik sendiri malon yang ditanam di dalam 2,400 polibeg di tiga rumah hijau serta hasil tanaman lain di kawasan Agrovalley Rong Chenok.
Jelasnya, program itu turut disertai dua usahawan RISDA yang akan memasarkan pelbagai produk, selain dua usahawan tempatan yang menjual makanan, minuman dan buah-buahan.
"Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga akan mengadakan jualan daging rusa dan daging lembu segar sempena operasi ladang rusa di kawasan ini," jelasnya.
Mengulas perkembangan dan hala tuju Agrovalley Rong Chenok, Dato' Tuan Mohd Saripudin memaklumkan, tanah kawasan itu akan dibangunkan semaksimumnya secara berperingkat sebagai hab pertanian dan agropelancongan yang lebih komprehensif.
Katanya, antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan ialah tanaman jagung bijian seluas lebih 30 ekar, kawasan tanaman bunga berasaskan spesies nanas, penternakan lembu hibrid kacukan Charolais dan lembu Kelantan-Kedah (KK), selain pusat ternakan rusa milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Menurutnya, keseluruhan kawasan pembangunan Agrovalley Rong Chenok melibatkan kira-kira 600 ekar, merangkumi 350 ekar milik PKPNK dan 250 ekar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang kini menempatkan lebih 400 ekor rusa.
Katanya lagi, pelan induk pembangunan kawasan itu sedang disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bersama PlanMalaysia, termasuk pembinaan jalan masuk, dewan terbuka dan kemudahan lain bagi menyokong pembangunan agropelancongan.
"Cadangan pembangunan ini telah dibentangkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan dianggarkan memerlukan peruntukan melebihi RM10 juta bagi menyiapkan kemudahan yang dirancang," jelasnya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PKPNK, Nik Razak Nik Hassan, Pegawai Khas Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Ts Mohd Nasir Jamaluddin Ab Rahaman serta pegawai PKPNK.


















