Accessibility Tools

Skip to main content

Pasukan Liga Elit DUN Wakaf Bharu mesti pertahan kejuaraan Piala Menteri Besar Kelantan - YB Mohd Rusli

TUMPAT, 26 Julai – Pasukan yang bakal muncul juara Liga Elit DUN Wakaf Bharu 2026 diseru mempertahankan kejuaraan Piala Menteri Besar Kelantan yang dimenangi musim lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah berkata, harapan itu disandarkan kepada semangat juang dan komitmen tinggi pemain yang menyertai Liga Elit DUN Wakaf Bharu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Liga Elit DUN Wakaf Bharu pada 23 Julai.

Menurutnya, kejohanan yang menghimpunkan sepuluh pasukan itu ialah platform pembangunan bola sepak akar umbi yang mampu mencungkil lebih ramai bakat baharu.

"Saya cukup gembira melihat semangat anak-anak muda mengambil bahagian dalam kejohanan ini.

"Semoga Liga Elit DUN terus menjadi medan melahirkan lebih ramai pemain berbakat dan menyemarakkan lagi bola sepak di Wakaf Bharu," katanya di laman rasmi, pada Khamis.

Beliau menyeru setiap pasukan memanfaatkan kejohanan tersebut untuk mempamerkan prestasi terbaik serta mengamalkan semangat kesukanan sepanjang saingan berlangsung.

Pada masa sama, beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan yang bertanding dan berharap Liga Elit DUN Wakaf Bharu terus menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan bola sepak serta penyatuan belia di kawasan berkenaan.

Pautan berjaya disalin!