577 armalah terima peruntukan RM120,000 di Dabong
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KUALA KRAI, 19 Julai – Seramai 577 ibu tunggal (armalah) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dabong menerima peruntukan sebanyak RM120,000 daripada kerajaan negeri, sekaligus membuktikan keprihatinan kelantan terhadap golongan tersebut.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri akan terus cakna terhadap kebajikan rakyat selaras dengan dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang meletakkan kesejahteraan masyarakat sebagai antara keutamaan pentadbiran negeri.
Menurut beliau, usaha mendekati rakyat dan menyantuni mereka dalam setiap lapisan kehidupan merupakan tanggungjawab yang sentiasa menjadi pegangan kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian menerusi media rasminya semalam selepas menghadiri Majlis Himpunan Armalah Peringkat Dabong yang berlangsung di Medan Ilmu Surau Hijau Gua Ikan, Dabong, Jumaat lalu.
Terdahulu, beliau memulakan program dengan menyampaikan Kuliah Duha sebelum bertemu masyarakat setempat dalam suasana penuh ukhuwah.
Katanya, pendekatan turun padang dan menyantuni rakyat secara langsung menjadi medium terbaik untuk memahami keperluan masyarakat serta mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Dabong YB Ku Mohd Zaki Ku Hussin berkata, sebanyak 577 orang armalah menerima bantuan khas berjumlah RM200 seorang melibatkan keseluruhan agihan sebanyak RM115,400.
“Baki RM4,600 daripada keseluruhan peruntukan RM120,000 akan dimanfaatkan bagi pelaksanaan program sosioekonomi armalah di DUN Dabong sebagai usaha memperkasakan kehidupan golongan tersebut secara berterusan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, seorang ibu tunggal bukan kuat kerana hidupnya mudah, tetapi kerana mereka memilih untuk terus bangkit walaupun berdepan kehilangan dan pelbagai ujian kehidupan.
Tambahnya, setiap pengorbanan, kesabaran dan keikhlasan seorang armalah dalam membesarkan anak-anak merupakan cerminan kekuatan jiwa yang wajar dihargai oleh seluruh masyarakat.
Katanya, kekuatan sebenar bukan terletak pada harta atau kedudukan, sebaliknya pada hati yang sentiasa reda, sabar dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT dalam menghadapi setiap cabaran kehidupan.














