Accessibility Tools

Skip to main content

Wujudkan senarai hitam, bendung pesalah serius industri padi dan beras - Dato' Mumtaz

Oleh: Asri Hamat

KUALA LUMPUR, 13 Julai - Kerajaan disaran mewujudkan senarai hitam atau daftar hitam kebangsaan industri padi dan beras bagi menyenaraikan syarikat serta individu yang disabitkan dengan kesalahan serius atau dikenakan hukuman muktamad berkaitan penyeludupan, kartel, manipulasi, pemeriksaan gred dan penyalahgunaan subsidi.

Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi berkata mana-mana syarikat atau individu yang disabitkan kesalahan tidak sepatutnya terus menerima lesen, subsidi, geran atau kontrak kerajaan.

"Jika hanya dikenakan denda, ia tidak akan memberi kesan yang mencukupi. Mereka perlu disenaraihitamkan daripada menerima lesen, subsidi atau kontrak kerajaan bagi tempoh tertentu," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kawalan padi dan beras di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata sebarang dasar berkaitan padi, beras dan sawah tidak seharusnya dilihat hanya daripada sudut pertanian semata-mata sebaliknya perlu dianggap sebagai aset strategik negara yang memerlukan perhatian menyeluruh semua pihak.

Menurutnya, pindaan RUU yang dibawa selepas lebih 32 tahun itu memberi tumpuan kepada beberapa kesalahan namun kesalahan membabitkan penyelewengan dalam industri berkenaan bukan sekadar kesalahan biasa malah disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap rakyat yang perlu diberi perhatian serius.

Katanya, peningkatan penalti, liabiliti terhadap pengarah syarikat dan aspek kawal selia merupakan langkah yang wajar bagi memperkukuh penguatkuasaan.

Beliau turut meminta kerajaan memastikan semua faktor yang mendorong kepada penyeludupan, percampuran beras dan kesalahan berkaitan dapat dicegah menerusi peruntukan undang-undang, di samping mendapatkan penjelasan mengenai pelan tindakan kerajaan bagi mengubah kecenderungan pengguna terhadap beras campuran.

Di samping itu, Dato' Mumtaz mendesak untuk mengetahui maklumat mengenai agensi penguatkuasaan baharu yang bakal diwujudkan selepas pindaan RUU itu serta keperluan pegawai penguat kuasa di seluruh negara.

Beliau berpandangan, RUU berkenaan lebih tertumpu kepada aspek kawalan kesalahan namun belum menggambarkan hala tuju pembangunan industri padi negara secara menyeluruh.

"Kita lihat dalam negara kita petroleum ada dasar strategik, elektrik ada Suruhanjaya, komunikasi ada MCMC, keselamatan sempadan ada Majlis Keselamatan Negara tetapi beras yang merupakan makanan ruji negara masih dilihat sebagai isu pertanian biasa," katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Industri Padi dan Beras Negara atau Lembaga Padi Malaysia bagi menyelaras dasar, inovasi, penyelidikan, produktiviti, penguatkuasaan, pemasaran dan keselamatan makanan secara menyeluruh.

Seterusnya, beliau mencadangkan supaya kerajaan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) nasional bagi industri padi yang merangkumi umur pesawah, penyertaan golongan belia, hasil sehektar, kos pengeluaran, kadar mekanisasi dan aspek berkaitan produktiviti.

Selain itu, negara juga perlu memberi tumpuan kepada aspek ketahanan sistem makanan termasuk keupayaan stok beras, stok benih, stok baja, kapasiti pengeringan dan kapasiti penyimpanan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh daya tahan negara.

Beliau turut mencadangkan penubuhan portal ketelusan industri padi dan beras negara yang membolehkan data dipantau secara masa nyata bagi memperkukuh kawalan keselamatan makanan dan rantaian bekalan, di samping meminta kerajaan menjelaskan pelan hala tuju dasar industri padi sehingga tahun 2040 serta pendekatan bagi menggalakkan penggunaan teknologi pertanian pintar termasuk kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), sensor pintar dan jentera autonomi.

Isu pembekalan benih padi juga dibangkitkannya dengan meminta kerajaan menjelaskan sama ada langkah akan diambil bagi memastikan tiada monopoli dalam pembekalan benih serta memperluaskan akses kepada pembekal benih berkualiti di seluruh negara.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan perlindungan terhadap tanah sawah strategik melalui undang-undang atau enakmen di peringkat negeri bagi memastikan kawasan pertanian tidak terus berkurangan.

Mengakhiri perbahasan, Dato' Mumtaz berkata Malaysia juga perlu mempunyai aspirasi membangunkan jenama beras bertaraf global yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa seperti negara lain, sekali gus menjadikan industri beras sebagai pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negara bukan sekadar sektor pengeluaran makanan.

Pautan berjaya disalin!