500 peserta jayakan Tumpat Fit dan Fun Walk, budaya hidup sihat perlu diteruskan – YB Mohd Adanan
Oleh: Syamimi Manah
TUMPAT, 13 Julai – Penyertaan 500 peserta dalam program Tumpat Fit dan Fun Walk 2026 membuktikan sambutan positif masyarakat terhadap aktiviti riadah sekali gus memperlihatkan budaya hidup sihat perlu terus diperkasakan menerusi penganjuran program komuniti secara berterusan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan berkata program berkonsepkan jalan santai itu memberi manfaat kepada kesihatan fizikal dan menjadi wadah memperkukuhkan perpaduan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, usaha membudayakan gaya hidup sihat amat penting memandangkan hampir separuh rakyat Kelantan berdepan masalah berat badan berlebihan atau obesiti.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran, YB Mohd Adanan Hassan
"Terima kasih kepada semua yang menyahut seruan Majlis Daerah Tumpat untuk hadir menjayakan program ini. Penyertaan 500 peserta membuktikan masyarakat semakin sedar akan kepentingan menjaga kesihatan melalui aktiviti riadah seperti ini," katanya ketika merasmikan program di Padang Kemahkotaan Pata Ndo, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, selain meningkatkan tahap kesihatan, program seumpama itu turut menjadi platform terbaik untuk memupuk semangat perpaduan serta mewujudkan suasana harmoni dalam komuniti.
"Program seperti ini bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah mampu memupuk semangat perpaduan, mengeratkan silaturahim dan memberi kegembiraan kepada masyarakat.
"Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan lebih banyak program seperti ini diadakan, terutama bersempena sambutan hari-hari kebesaran," ujarnya.
Menurutnya, pihak DUN Kelaboran turut merancang untuk menganjurkan satu lagi program riadah sempena Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos sebagai kesinambungan usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, pihak Majlis Daerah Tumpat memaklumkan bahawa Tumpat Fit dan Fun Walk 2026 merupakan salah satu siri Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Program tersebut berjaya menarik ratusan peserta dari sekitar Tumpat dan luar daerah yang berpeluang menikmati suasana nyaman pada waktu pagi sambil melalui laluan di sekitar Bandar Tumpat dan Bandar Bentara Tumpat.












