Accessibility Tools

Skip to main content

130 anak yatim, OKU DUN Kijang terima sumbangan kerajaan negeri

Oleh: Irham Hilmi Hashim

PENGKALAN CHEPA, 29 Jun — Sebanyak 130 penerima terdiri daripada 100 anak yatim dan 30 orang kurang upaya (OKU) menerima sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Program Himpunan OKU dan Anak Yatim DUN Kijang sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan golongan yang memerlukan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Izani Husin berkata, sumbangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan anak yatim dan golongan OKU sentiasa diberi perhatian serta disantuni.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada para penerima pada Program Himpunan OKU dan Anak Yatim DUN Kijang yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Kijang, di sini, semalam.

Menurutnya, setiap manusia diuji dengan cabaran kehidupan yang berbeza dan setiap ujian yang ditentukan Allah SWT pasti mengandungi hikmah yang besar.

“Ketika melihat wajah-wajah anak-anak yatim dan saudara-saudara OKU di hadapan saya, hati ini cukup tersentuh.

Masing-masing diuji dengan kisah dan perjalanan hidup yang berbeza, namun saya percaya setiap ujian yang Allah berikan pasti tersimpan hikmah yang besar di sebaliknya,” katanya menerusi media sosial rasmi, hari ini.

Beliau turut berpesan agar anak-anak yatim dan golongan OKU sentiasa memelihara hubungan dengan Allah SWT dengan menjaga solat serta menjadikan al-Quran sebagai panduan dan sumber kekuatan dalam menempuh kehidupan.

“Jangan sesekali meninggalkan solat walau dalam apa jua keadaan. Jangan tinggalkan al-Quran kerana itulah sahabat yang akan sentiasa menemani dan memberi kekuatan ketika hati sedang diuji,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!