Premium insurans kesihatan naik akibat kelemahan kawal selia, bukan fi doktor - YB Abdul Latiff
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA LUMPUR, 29 Jun — Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman mendakwa peningkatan premium insurans kesihatan yang semakin membebankan rakyat berpunca daripada kelemahan kawal selia ekosistem kesihatan swasta, bukannya fi profesional doktor seperti yang sering dipersepsikan.
Beliau berkata, Penyata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung peningkatan premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan implikasinya terhadap kesihatan awam mendedahkan pelbagai kelemahan struktur yang memerlukan tindakan segera kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Penyata PAC berhubung peningkatan premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impaknya terhadap kesihatan awam pada Persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Menurutnya, laporan PAC menunjukkan ekosistem kesihatan swasta ketika ini masih beroperasi tanpa ketelusan harga, standard pengebilan yang seragam serta mekanisme kawal selia yang mencukupi sehingga akhirnya membebankan rakyat.
“Akibatnya, rakyat berdepan hospital yang mengenakan caj kreatif, industri insurans yang mengalihkan risiko kepada pengguna dan kerajaan yang masih ketinggalan dari segi dasar serta mekanisme kawal selia,” jelasnya.
Beliau berkata, PAC turut mendapati Bank Negara Malaysia mengawal selia industri insurans, namun tidak mempunyai instrumen perundangan untuk mengawal punca sebenar kenaikan premium iaitu kos rawatan di hospital swasta.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan masyarakat sering menyalahkan Bank Negara Malaysia apabila premium meningkat sedangkan faktor utama ialah kos rawatan hospital swasta yang berada di luar bidang kuasa institusi berkenaan.
YB Abdul Latiff turut membangkitkan isu ketelusan harga apabila PAC mendedahkan kewujudan amalan caj kreatif, pengebilan yang tidak standard serta manipulasi harga ubat sehingga item seperti sarung bantal, 'alcohol swab' dan pelupusan sisa klinikal dikenakan caj secara berasingan.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap dakwaan wujud diskriminasi harga ke atas pesakit yang menggunakan guarantee letter (GL) apabila mereka dikenakan caj lebih tinggi berbanding pesakit yang membuat bayaran secara tunai atau melalui kaedah pay and claim.
“Keadaan ini menyebabkan pemegang insurans akhirnya membayar kos rawatan yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mempunyai perlindungan,” katanya.
Beliau turut menyentuh amalan 'closed pool' yang didakwa menyebabkan pelanggan lama menanggung kenaikan premium jauh lebih tinggi manakala syarikat insurans menawarkan kadar lebih rendah kepada pelanggan baharu.
Menurutnya, keadaan itu memberi kesan besar kepada pemegang polisi khususnya warga emas sehingga ada yang terpaksa membatalkan perlindungan ketika mereka paling memerlukan rawatan kesihatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa produk polisi berkaitan pelaburan (Investment-Linked Policy atau ILP) telah memindahkan risiko pasaran dan peningkatan kos insurans kepada pengguna yang kebanyakannya tidak memahami struktur yuran serta prestasi dana.
“Kontrak yang kompleks tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memindahkan beban kepada pengguna secara senyap kerana ketelusan merupakan satu kewajipan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, YB Abdul Latiff menegaskan fi profesional doktor bukan penyumbang utama kepada peningkatan kos rawatan kerana kadarnya dikawal dan hampir tidak berubah sejak 2013.
Sebaliknya, beliau berkata peningkatan kos berpunca daripada kenaikan harga ubat, peralatan perubatan, perkhidmatan makmal diagnostik, utiliti serta kos operasi hospital swasta.
Dalam pada itu, beliau turut menarik perhatian terhadap struktur pasaran ubat yang disifatkan tidak sihat apabila lebih 1,500 jenis ubat hanya mempunyai seorang pengeluar berdaftar sehingga mewujudkan monopoli yang mengekalkan harga pada kadar tinggi.
Beliau berkata model penetapan semula premium (repricing) yang menyaksikan kenaikan antara 40 hingga 70 peratus turut memberi kejutan kewangan kepada rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup.
Menurutnya, laporan mengenai bil hospital yang tinggi, rungutan pesakit GL dikenakan caj lebih mahal serta pembatalan polisi oleh warga emas akibat kenaikan premium bukan lagi kes terpencil, sebaliknya mencerminkan kegagalan mekanisme pasaran bebas yang tidak disokong standard harga dan kawal selia yang berkesan.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa persoalan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia, termasuk jumlah hospital swasta yang dikenakan tindakan kerana mengenakan caj lebih tinggi kepada pesakit GL, status pindaan Akta 586 serta cadangan penubuhan badan kawal selia bebas merentas rantaian nilai seperti yang disyorkan PAC.
Beliau turut meminta data jumlah pemegang polisi berusia 60 tahun ke atas yang membatalkan polisi dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini akibat kenaikan premium mengikut syarikat insurans dan jenis produk.
Selain itu, beliau mendesak Bank Negara Malaysia menjelaskan jumlah syarikat yang mengamalkan 'closed pool', parameter takrifan amalan tersebut serta sama ada institusi berkenaan bercadang mengharamkannya selain memperkenalkan mekanisme 'risk pooling' yang lebih menyeluruh dan koridor kenaikan premium secara berperingkat bagi mewujudkan sistem insurans kesihatan yang lebih adil dan mampan.








